Jumaat, 7 Disember 2018 | 9:30pm

Sarawak Energy, Shell MDS tinjau kerjasama pengeluaran hidrogen

KUCHING: Sarawak Energy Bhd dan Shell MDS (Malaysia) Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama bagi menilai potensi peluang dalam teknologi pengeluaran hidrogen berkos rendah melalui elektrolisis.

MoU itu termasuk kajian bersama dan pertukaran pengetahuan mengenai teknologi pengeluaran hidrogen, pendidikan dan merangka amalan terbaik serta menilai peluang untuk pensijilan hijau dalam pengeluaran hidrogen.

Penandatangan untuk Sarawak Energy adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datu Sharbini Suhaili dan Naib Presiden Kanan Perundangan & Risiko Perusahaan, Nooruddin Abdullah manakala Shell MDS diwakili Pengarah Urusannya, Omar Sheikh dan Pengurus Besar Bagi Pembuatan, Chris Schultz.

MoU itu adalah susulan kepada loji pengeluaran hidrogen perintis Sarawak Energy dan projek stesen mengisi minyak yang dijadualkan siap untuk menjalankan ujian tiga bas berkuasa hidrogen yang dijangka tiba di sini pada suku pertama 2019.

Loji pengeluaran dan stesen mengisi minyak itu adalah sebahagian daripada beberapa inisiatif yang dilaksanakan Sarawak Energy sebagai sebahagian daripada penyelidikan untuk menghijaukan sektor pengangkutan melalui bahan api berkarbon rendah untuk bandar raya ini.

Loji pertama seperti itu di Asia Tenggara, kemudahan perintis meletakkan asas untuk penyelidikan mengenai daya maju komersil ekonomi hidrogen untuk Sarawak melalui pengeluaran, penghantaran, penyimpanan dan penggunaan "bahan api masa depan" ini.

Mengulas mengenai kerjasama itu, Sharbini berkata, pembangunan teknologi hidrogen dan sel bahan api dianggap sebagai apa yang diperlukan dalam rantaian nilai perniagaan tenaga boleh diperbaharui.

"Kerjasama dengan Shell MDS akan membuatkan kita berusaha untuk mencapai matlamat bersama dalam menyokong aspirasi negara untuk menyah karbon daripada sistem tenaga kita, dengan menambah apa yang Sarawak Energy lakukan melalui kuasa hidro untuk menyediakan tenaga bersih, boleh diperbaharui dan berpatutan untuk Sarawak," katanya.

Hidrogen adalah molekul serba boleh yang bertindak sebagai pengangkut tenaga dan menawarkan bahan api bersih dalam mobiliti dan simpanan tenaga serta stok suapan kepada proses kimia perindustrian.

Tenaga hidro yang boleh diperbaharui kini membentuk 75 peratus campuran penjanaan Sarawak, oleh itu, menghasilkan hidrogen dari grid akan menjadi kurang intensif bahan api fosil.

-BERNAMA

Berita Harian X