Isnin, 10 Disember 2018 | 11:12am

Saham Top Glove menjunam susulan tuduhan tindas pekerja

KUALA LUMPUR: Saham Top Glove Corp Bhd menjunam pada dagangan awal hari ini susulan berita tuduhannya menggunakan menindas pekerja.

Saham pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia itu susut 5.93 peratus, atau 33 sen kepada RM5.57 dengan 1.2 juta saham bertukar tangan.

Menurut laporan, Britain memulakan siasatan ke atas sarung tangan getah perubatan yang digunakan oleh perkhidmatan kesihatannya, selepas Thomson Reuters Foundation mendedahkan stok dari Malaysia terjejas dengan layanan buruk pekerja asing di Top Glove.

Laporan itu berkata, Top Glove enggan memberi maklum balas terus apabila diminta mengeluarkan kenyataan, yang mana ia memperakui bahawa kerja lebih masa keterlaluan pada setiap hari adalah satu masalah.

Top Glove menafikan persekitaran di kilang-kilangnya melanggar hak pekerja.

“Kami memberi jaminan bahawa tuduhan itu seluruhnya tidak berasas dan tuduhan sedemikian menjejaskan nama baik kami,” katanya sambil menegaskan bahawa ia mematuhi ‘keperluan undang-undang buruh tempatan’ dan memenangi pelbagai anugerah sumber manusia.

“Top Glove melaksanakan dasar toleransi sifar ke atas penganiayaan hak manusia di semua peringkat.

“Malah, hak pekerja dan inisiatif kesihatan kami mengatasi purata dalam industri sarung tangan getah,” katanya.

Berita Harian X