Isnin, 10 Disember 2018 | 12:12pm

Kilang perintis hidrogen Sarawak Energy siap 2019

KUCHING: Kilang perintis pengeluaran hidrogen dan stesen bahan bakar, Sarawak Energy Bhd, dijangka siap menjelang suku pertama tahun depan, serentak dengan ujian percubaan tiga bas dikuasakan bahan bakar hidrogen.

Dalam satu kenyataan, pembangun tenaga milik kerajaan negeri itu berkata, kemudahan berkenaan adalah pertama seumpamanya di Asia Tenggara untuk penyelidikan berkenaan daya maju komersial ekonomi hidrogen melalui pengeluaran, penyampaian, penyimpanan dan penggunaan bahan bakar terbabit.

Kilang pengeluaran dan stesen bahan bakar itu adalah sebahagian daripada beberapa inisiatif dalam menghijaukan sektor

pengangkutan melalui bahan bakar rendah karbon untuk Kuching,” kata kenyataan itu.

Sebagai sebahagian usaha untuk meneroka ekonomi hidrogen, Sarawak Energy dan Shell MDS (Malaysia) Sdn Bhd (SMDS), menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menilai peluang potensi dalam tekonologi pengeluaran hidrogen rendah kos melalui elekrolisis pada 7 Disember lalu.

MoU itu termasuk kajian dan pertukaran pengetahuan berkenaan teknologi pengeluaran hidrogen, pendidikan, formulasi amalan terbaik dan penilaian peluang untuk pensijilan hijau dalam pengeluaran hidrogen.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili, berkata kerjasama berkenaan adalah pautan yang hilang dalam rantaian nilai perniagaan tenaga boleh diperbaharui.

-BERNAMA

Berita Harian X