Khamis, 13 Disember 2018 | 8:37pm
AADRIN Azly - Foto SUPIAN AHMAD
AADRIN Azly - Foto SUPIAN AHMAD

Aadrin Azly dilantik COO baharu PDB

KUALA LUMPUR: PETRONAS Dagangan Bhd (PDB) hari ini mengumumkan pelantikan Aadrin Azly sebagai Ketua Pegawai Operasinya (COO) yang baharu, berkuat kuasa 1 Januari 2019.

Dalam satu kenyataan hari ini, PDB berkata, menerusi pelantikan itu, Aadrin akan memantau operasi perniagaan serta mengetuai pelaksanaan rancangan strategik PDG.

Katanya, beliau pada masa ini memegang jawatan Ketua Perniagaan Runcit PDG.

“Aadrin mula menyertai PETRONAS pada 1999 di mana beliau menghabiskan tempoh enam tahun pertama kerjayanya di perniagaan Komersial dan RUncit PDB.

“Seterusnya, beliau menerajui pelbagai unit di peringkat kumpulan PETRONAS, termasuk sebagai Ketua (Penganalisis) Naib Presiden Perniagaan Minyak; Pengurus Kanan di Strategi Korporat; dan Penolong Eksekutif Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan.

“Sebelum memegang jawatan Ketua Perniagaan Runcit, beliau adalah Pengurus Besar Kanan Strategi dan Portfolio (Huluan),” katanya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Datuk Seri Syed Zainal Abidin, berkata di bawah pimpinan Aadrin, syarikat itu mencatatkan pelbagai kemajuan dalam perniagaan runcit sepanjang tempoh dua tahun lalu.

“Aadrin mempunyai pengalaman dan pengetahuan perniagaan PDB serta rangkaian nilai perniagaan PETRONAS.

“Beliau adalah ahli penting dalam kajian strategik PETRONAS yang kami jalankan setiap beberapa tahun, serta baharu pulang dari Harvard Business School selepas menamatkan Program Pengurusan Lanjutan,” katanya.

Sementara itu, bermula 1 Januari 2019, jawatan Aadrin akan diganti oleh Khalil Muri yang kini adalah Ketua Projek Khas di bawah Perniagaan Runcit.

Berita Harian X