Rabu, 26 Disember 2018 | 2:14pm
MMHE, TechnipFMC meterai perjanjian bersama Saudi Aramco. - Ihsan Bloomberg

MMHE, TechnipFMC meterai perjanjian bersama Saudi Aramco

KUALA LUMPUR: Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd (MMHE) menerusi konsortium bersama TechnipFMC memeterai perjanjian jangka panjang (LTA) dengan Saudi Arabian Oil Company (Saudi Aramco).

Perjanjian itu, yang sah untuk enam tahun dengan pilihan melanjutkan bagi enam tahun lagi, merangkumi kerja kejuruteraan, perolehan, fabrikasi, pengangkutan dan pemasangan kemudahan luar pesisir untuk menyokong Program Keupayaan Luar Pesisir Saudi Aramco, dan kerja-kerja lain yang akan dilaksanakan dalam perairan Arab Saudi.

Perjanjian itu dimeterai pada Forum Tahunan In-Kingdom Total Value Add (IKTVA) Saudi Aramco di Dammam, Arab Saudi pada 26 November lalu.

Berdasarkan kepada LTA, MMHE dan rakan kongsinya akan melihat skop tertentu yang akan dilaksanakan di Arab Saudi, menyokong inisiatif Saudisasi yang berterusan itu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MHB, Wan Mashitah Wan Abdullah Sani, berkata pihaknya sangat teruja untuk memulakan kerjasama dengan Saudi Aramco dan menyokong program pembangunan luar pesisir mereka.

Beliau berkata, kemasukan pihaknya ke Arab Saudi menandakan satu peristiwa penting bagi segmen Kejuruteraan Berat Kumpulan kerana syarikatnya meneruskan pertumbuhan sejajar dengan strategi untuk mengembangkan portfolio di pasaran antarabangsa.

“Dengan memanfaatkan sepenuhnya kekuatan teras MMHE dan TechnipFMC, kami percaya bahawa kerjasama ini adalah satu langkah yang kukuh dalam usaha pemacu berterusan kami untuk memberikan yang terbaik kepada pelanggan kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, MHB juga memperoleh kontrak fabrikasi Modul Pengendalian Air Pluto dari TechnipFMC.

Ia berkata, setelah selesai, modul itu akan dipasang pada Platform Pengeluaran Alpha Gas Pluto sedia ada Woodside Energy Ltd yang terletak di luar pantai Australia Barat.

Katanya, modul itu disasarkan siap menjelang suku keempat 2020.

MHB mempunyai rekod lebih 40 tahun untuk menyampaikan penyelesaian bersepadu dan rumit, termasuk perkhidmatan sokongan laut dalam kepada pelanggan minyak dan gas antarabangsa.

Ia diiktiraf untuk kepakaran globalnya dalam perkhidmatan penukaran luar pesisir dan pembaikan kapal gas cecair asli (LNG) dan dok kering.

MHB juga memiliki dan mengendalikan Pusat Kecemerlangan serantau, pusat pembelajaran yang menghasilkan pekerja pakar teknikal untuk industri.

Berita Harian X