Rabu, 2 Januari 2019 | 3:19pm
AMMAR Roslizar

ARBA Travel sasar jualan RM100 juta

SERI KEMBANGAN: Penyedia pakej pelancongan, ARBA Travel & Tours Sdn Bhd menyasarkan jualan RM100 juta menjelang 2020 bersandarkan prestasi semasanya yang memberangsangkan.

Pengarah Urusannya, Ammar Roslizar, berkata ia susulan kejayaan syarikat itu merekodkan jualan lebih dua kali ganda pada tahun lalu berbanding tahun 2017 dan menyasarkan sasaran sama untuk tahun 2019.

Selain itu, katanya kejayaan membuka satu lagi cawangan pejabat baharunya di Istanbul, Turki baru-baru ini dijangka turut mampu meningkatkan sumbangan jualan kepada syarikat bagi tahun ini.

Selain Istanbul, ARBA Travel mempunyai tiga pejabat dengan dua di Malaysia iaitu masing-masing di Kuala Lumpur dan Sabah, manakala satu lagi di Seoul, Korea Selatan.

"Syarikat kini dalam perancangan untuk membuka satu lagi cawangan baharu di Jakarta, Indonesia dan sedang meninjau rakan niaga berpotensi di negara itu.

"Kami berdepan cabaran untuk mendapatkan rakan yang tepat, yang berkeupayaan melaksanakan kerja dengan baik dan mampu mencapai standard ditetapkan syarikat.

”Namun, kita harapkan ia akan dapat dimuktamadkan secepat mungkin pada tahun ini," katanya kepada Bisnes NSTP ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Ammar yang terpilih sebagai finalis Usahawan Terbaik Tahunan Ernst & Young (EY) kategori Baru Muncul baru-baru ini, berkata pihaknya mahu mengambangkan operasi perniagaan ke luar negara secara agresif pada tahun ini.

Selain meningkatkan pendapatan syarikat, Ammar berkata, ia juga bertujuan memindahkan sebahagian risiko perniagaan sekiranya berlaku perkara di luar jangkaan di dalam negara seperti kemerosotan ekonomi.

Ditanya mengenai kesan pelaksanaan levi pelepasan bagi semua penumpang udara yang ke luar negara bermula Jun ini, beliau berkata perkara itu sememangnya akan memberi impak kepada industri.

Namun, katanya mood dan trend pelancong pada masa kini semakin menarik dan pihaknya akan membuat keputusan yang mengambil kira kepentingan pelanggan.

Dalam Belanjawan 2019, kerajaan mengumumkan pelaksanaan levi bagi penerbangan antarabangsa bermula Jun 2019, membabitkan RM20 bagi negara ASEAN dan RM40 bagi negara lain.

Dalam perkembangan lain, Ammar berkata, Yayasan ARBA yang baru ditubuhkan baru-baru ini menyasarkan untuk menyumbang sebanyak RM1 juta bagi tujuan kebajikan pada tahun ini.

"Bagi tujuan ini, kita akan mengaplikasikan teknologi sedia ada yang telah diguna pakai syarikat ke dalam yayasan ini. Ia antaranya termasuk teknologi yang membolehkan penderma mengetahui wang yang mereka dermakan digunakan bagi tujuan apa secara masa nyata.

"Selain itu, 100 peratus wang derma akan digunakan sepenuhnya untuk tujuan kebajikan, kita tidak akan ambil langsung bagi kegunaan operasi yayasan, sebaliknya operasi yayasan akan dibiayai sendiri oleh syarikat," katanya.

Berita Harian X