Rabu, 2 Januari 2019 | 4:28pm
MOHD Hairul Abdul Hamid
MOHD Hairul Abdul Hamid

FGV lantik CFO baharu

KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd (FGV) melantik Datuk Mohd Hairul Abdul Hamid sebagai Ketua Pegawai Kewangannya (CFO) berkuatkuasa hari ini.

Mohd Hairul mempunyai pengalaman luas dalam korporat dan kewangan dengan jawatan terakhirnya sebagai CFO di Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, FGV berkata, beliau juga pernah menjadi CFO Bahagian Tenaga dan Utiliti di Sime Darby Bhd.

Mohd Hairul juga adalah Fellow Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dan Akauntan Bertauliah dengan Institut Akauntan Malaysia (MIA).

FGV pada 12 Oktober 2018 yang lalu mengumumkan perletakan jawatan Ahmad Tifli Mohd Talha sebagai CFO.

Pada 4 Oktober 2018, Ahmad Tifli menyambung kembali tugasnya selepas direhatkan selama empat bulan bersama bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Zakaria Arshad serta dua pengurusan kanan yang lain susulan siasatan forensik mengenai urus niaga syarikat yang meragukan.

Ahmad Tifli meletak jawatan berkenaan bagi meneruskan peluang kerjaya yang lain.

FGV kemudiannya pada 18 Oktober 2018, melantik Ketua Bahagian Kewangan Kumpulan, Aznur Kama Azmir sebagai pemangku CFO pada 18 Oktober 2018.

Berita Harian X