Rabu, 16 Januari 2019 | 6:24pm

PETRONAS rancang beli kepentingan pengeluar solar India

KUALA LUMPUR: PETRONAS merancang untuk membeli kepentingan majoriti dalam Amplus Energy Solutions Pvt Ltd, antara pengeluar tenaga solar bumbung terbesar di India, lapor akhbar perniagaan di negara itu, Mint.

Memetik sumber, laporan itu berkata PETRONAS sedang mengadakan perbincangan bersama firma ekuiti persendirian di New York, I Squared Capital untuk membeli kepentingan itu dalam satu urus niaga yang berpotensi bernilai 2,700 crore rupee (RM1.55 bilion).

Beberapa gergasi minyak dunia sedang meninjau untuk mempelbagaikan perniagaan dan melabur dalam ekonomi sektor tenaga hijau India yang sedang pesat berkembang, memandangkan segmen hidrokarbon konvensional sedang melalui fasa gangguan teknologi.

Statoil ASA dari Norway, Total SA dari Perancis dan gergasi minyak dunia, Royal Dutch Shell Plc sebelum ini menunjukkan minat melabur dalam Amplus yang telah mengeluarkan sehingga 350 megawat kapasiti tenaga di seluruh India.

OAO Rosneft dari Russia, firma minyak senaraian awam terbesar di dunia juga sedang meneroka peluang dalam sektor tenaga solar India.

“Rundingan sedang diadakan bagi PETRONAS membeli kepentingan majoriti dalam Amplus,” kata sumber pertama, yang enggan dikenali.

Seorang lagi sumber, yang juga tidak mahu dinamakan, mengesahkan perkembangan itu.

Dalam perniagaan tenaga boleh diperbaharui (RE), perbelanjaan terbesar adalah kos modal. Kekuatan kewangan syarikat minyak utama global akan membantu sektor tenaga bersih India.

Ditubuhkan pada 2010, antara pelanggan Amplus termasuklah India Yamaha Motor Pvt Ltd, Jubilant FoodWorks Ltd, Walmart India Pvt Ltd, Hilton Hotels Corp dan Vatika Group among its clients.

Semua pelanggan terbabit sedang berusaha untuk mengurangkan kos tenaga dengan memanfaatkan sumber matahari.

PETRONAS sebelum ini dilaporkan telah menubuhkan sebuah perniagaan baharu dalam kumpulan itu dalam usahanya untuk memasuki segmen RE.

Menurut laporan Reuters, PETRONAS telah menyatakan minat untuk mempelbagaikan perniagaannya kepada segmen lain di tengah-tengah harga minyak yang rendah.

Pada Mac tahun lalu, Ketua Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, syarikat akan meneroka bidang perniagaan baharu termasuk tenaga baharu dan akan menilai peluang dalam tenaga solar.

Berita Harian X