Jumaat, 18 Januari 2019 | 11:55am

Saham DRB-Hicom susut, PROTON terima tuntutan saman

KUALA LUMPUR: Harga saham DRB-Hicom Bhd jatuh pagi ini susulan saman sivil yang diterima anak syarikat tidak langsungnya, Proton Automobiles (China) Ltd (PACL) daripada Goldstar Heavy Industrial Co Ltd.

Pada jam 11.20 pagi ini, sahamnya jatuh sehingga 11 sen, atau 6.15 peratus kepada RM1.68.

Semalam, dalam kenyataannya di Bursa Malaysia, DRB-Hicom berkata PACL berdepan saman sivil yang menuntut 860.61 juta renminbi (RM522.9 juta) di Mahkamah Tinggi Guangdong, China.

PACL dan satu lagi unit PROTON, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB) dinamakan sebagai defendan dalam tuntutan yang dihantar oleh Goldstar.

Kedua-dua anak syarikat PROTON itu perlu hadir di mahkamah pada 9 Julai ini.

DRB-Hicom Bhd berkata tuntutan adalah berkaitan kontrak yang dimeterai antara anak syarikat 50.1 peratus PROTON, Lotus Group International Ltd (LGIL) dan Goldstar pada 17 April 2015 untuk menubuhkan sebuah syarikat usaha sama (JV) Goldstar Lotus Automobile Co Ltd (GLAC).

Kepentingan PROTON dalam GLAC adalah 40 peratus, LGIL (10 peratus) dan Goldstar (50 peratus).

GLAC dirancang untuk mengeluar dan menjual kereta serta alat ganti Lotus, selain menyediakan perkhidmatan selepas jualan di China.

Bagaimanapun, selepas gagal mendapatkan lesen pengeluaran pada tarikh akhir 31 Disember 2017, kontrak JV itu dibatalkan pada 22 Januari tahun lalu.

Berikutan itu, GLAC tidak dapat memulakan operasi perniagaannya.

DRB-Hicom berkata, syarikat itu dan penasihat undang-undangnya sedang meneliti tuntutan yang dibuat oleh Goldstar dan akan mengambil langkah yang perlu untuk mempertahankannya.

Penganalisis Hong Leong Investment Bank, Daniel Wong, bagaimanapun mengekalkan saranan beli ke atas saham DRB-Hicom dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.80, bergantung kepada penjelasan berikutnya daripada pengurusan.

“Dari segi operasi, model baharu X70 mendapat tempahan menggalakkan 15,000 unit, dengan lebih 2,000 unit sudah dihantar. Kejayaan pelancaran X70 akan memberikan keyakinan kepada pelabur untuk pelancaran model-model akan datang PROTON serta sokongan kukuh berterusan Geely untuk memulihkan PROTON,” katanya.

Berita Harian X