Isnin, 21 Januari 2019 | 1:41pm

SilTerra sedia tawar kepakaran dalam kereta nasional ketiga

KUALA LUMPUR: Anak syarikat Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), SilTerra Malaysia Sdn Bhd (SilTerra Malaysia), bersedia menawarkan kepakarannya dalam projek pembangunan kereta nasional ketiga.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Firdaus Abdullah, berkata SilTerra Malaysia kini berupaya menguasai lima bidang utama yang mampu menyumbang dan menjadi keperluan kepada industri automotif negara pada masa ini seterusnya masa depan.

"Lima bidang berkenaan adalah di bawah inisiatif automotif SilTerra Malaysia yang terdiri daripada kuasa pintar bagi bateri, motor dan sistem pengecasan; pengawalan mikro; sistem 'infotainment'; pengesan (sensor) dan pencahayaan masa depan.

"Sehingga Januari 2019, SilTerra Malaysia menerima pensijilan automotif IATF16949 iaitu pensijilan yang diiktiraf di peringkat dunia dan pada masa sama membolehkan kami menjadi pembekal dalam rantaian bekalan automotif di peringkat global termasuk kepada gergasi industri termasuk BOSCH serta pembuat kereta lain," katanya dalam temubual bersama BH, baru-baru ini.

Pengeluar wafer semikonduktor itu sebelum ini telah berkecimpung dalam industri automotif sejak 2015, menerusi pasaran 'Smart Power IC' dan pengesan.

Laporan portal automotif tempatan sebelum ini berkata, SilTerra Malaysia disebut-sebut antara syarikat yang akan terbabit dalam projek kereta nasional ketiga menerusi keupayaannya dalam pembangunan mikrocip.

Firdaus berkata, sebagai peserta industri yang aktif di peringkat global dan lebih 19 tahun beroperasi, pihaknya kini mempunyai kemampuan untuk membekalkan keperluan mikrocip dan menjual teknologi elektronik penguna serta perkhidmatan bagi pasaran automotif tempatan.

"Pada masa ini, sebanyak 99 peratus hasil pengeluaran kami adalah bagi pasaran eksport ke luar negara terutama China, Taiwan dan Amerika Syarikat (AS) dan selebihnya adalah bagi pasaran domestik.

"Selari dengan matlamat kerajaan untuk membangunkan kereta nasional ketiga dan terus meningkatkan keupayaan industri automotif pada masa depan, kami bersedia untuk meningkatkan penguasaan dalam pasaran tempatan," katanya.

Mengulas lanjut katanya, setakat ini, SilTerra yang berpusat di Taman Teknologi Kulim, Kedah belum menerima sebarang tawaran rasmi bagi projek kereta nasional itu tetapi tetap bersedia jika diberi peluang.

Berdasarkan data SilTerra Malaysia, pengeluaran kereta setahun kira-kira 100 juta dan jumlah itu dijangka akan meningkat kepada 200 juta kereta dalam tempoh 30 tahun akan datang.

Mengikut trend, elektronik automotif adalah segmen paling pesat berkembang dalam industri semikonduktor global iaitu kira-kira 15 peratus setahun.

Malah menjelang 2050, lebih daripada 85 peratus pembuatan kereta baharu adalah bagi pasaran segmen kenderaan elektrik (VE) atau hibrid yang memiliki autonomi pemanduan berlainan serta dilengkapi sistem elektronik, sekali gus akan menyumbang kepada lebih 50 peratus daripada jumlah kos membangunkan sesebuah kereta.

Firdaus berkata, selari dengan trend dan pertumbuhan industri yang memberangsangkan pada masa depan, ia memberi banyak kelebihan kepada Malaysia yang sedia menjadi pengeksport utama bagi sektor elektrik dan elektronik (E&E) di peringkat dunia.

"Sebagai pemangkin kepada pertumbuhan industri, kami juga bersedia untuk menjalinkan kerjasama pintar dengan pihak lain dalam serta luar negara, selain membuka lebih banyak peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi berkongsi kepakaran bersama sama," katanya

Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) sebelum ini turut mengumumkan peruntukan sehingga RM20 juta bagi membangunkan prototaip kereta nasional ketiga yang sebahagian besarnya adalah daripada pelaburan vendor.

Prototaip itu dijangka dilancarkan pada suku pertama 2019.

Berita Harian X