Isnin, 28 Januari 2019 | 2:47pm
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan.

FGV, Samyang akan buka kilang ramen halal

KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd memeterai memorandum persefahaman dengan Samyang Foods Co Ltd dari Korea Selatan bagi menubuhkan kemudahan pengilangan ramen halal di Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan, berkata kerjasama itu adalah sebahagian daripada hala tuju FGV untuk mengembangkan perniagaan hilirannya dengan mempelbagaikan penawaran produk dan menembusi pasaran baharu.

"Dengan MoU ini, FGV berharap meneroka peluang bagi kedua-dua pihak untuk menubuhkan kilang pengeluaran mi segera dan ramen halal di Malaysia.

"Pasaran makanan halal global adalah antara segmen paling pesat berkembang dalam industri makanan dan dijangka bernilai lebih daripada AS$740 bilion (AS$1=RM4.11) menjelang 2025," katanya.

FGV berkata perkongsian itu juga akan memberi FGV akses kepada rantaian bekalan Samyang Food, termasuk minyak masak, lemak sayuran dan gula untuk kilang ramen sedia ada di Wonju, Korea Selatan.

Selain itu, anak syarikat milik penuh FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd, yang menerajuii pengembangan perniagaan hiliran kumpulan, boleh memanfaatkan kekuatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan rangkaian pengedaran global untuk produk SAJI.

"Samyang Foods adalah jenama global yang mantap, sehubungan itu inilah prospek perniagaan yang hebat untuk FGV untuk meneroka dan akhirnya akan memberi manfaat kepada Malaysia dengan meletakkan kedudukannya sebagai hub Halal bersepadu bagi pasaran global.

"Kami akan dapat memanfaatkan kepakaran tempatan dalam industri halal termasuk akreditasi halal Malaysia yang diiktiraf di seluruh dunia," kata Haris.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X