Isnin, 28 Januari 2019 | 3:46pm

Maybank tersenarai 500 jenama paling bernilai

KUALA LUMPUR: Malayan Banking Bhd (Maybank) disenaraikan sebagai 500 jenama paling bernilai dunia buat pertama kalinya oleh Brand Finance Global 500 Brands.

Ia sekali gus menjadikannya bank tunggal tempatan dan satu daripada dua jenama Malaysia yang disenaraikan.

Institusi perbankan ini mencapai penilaian jenama sebanyak AS$4.2 bilion (RM17.3 bilion) dengan peningkatan 32 peratus berbanding penilaian tahun sebelumnya iaitu AS$3.16 bilion (RM13.02 bilion).

Maybank juga mengekalkan kedudukannya sebagai jenama bank utama di Malaysia untuk tahun kelima dan meningkatkan penarafan AAA- ke AAA serta mencatatkan peningkatan dalam Indeks Kekuatan Jenama (BSI) sebanyak 86/100 tahun ini berbanding 82/100 pada tahun sebelumnya.

Prestasi mantap itu juga terbukti di peringkat serantau memandangkan Maybank adalah antara lapan jenama ASEAN yang tersenarai dalam ranking global di mana ia diletakkan pada kedudukan 494 di senarai 500 jenama paling bernilai di dunia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias, berkata pengiktirafan ini adalah gambaran usaha berterusan bank itu dalam membina hubungan lebih erat dengan pihak berkepentingan dan memberi tumpuan kepada penyampaian nilai secara konsisten melalui semua produk dan perkhidmatan.

“Ini adalah satu penghormatan besar bagi Maybank untuk disenaraikan di antara jenama terkemuka di dunia pada hari ini. Kami percaya ia juga menunjukkan bagaimana satu jenama tempatan boleh mencipta taraf baru dan meningkatkan penilaian di peringkat global dengan sokongan daripada semua pihak berkepentingannya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, strategi Maybank dalam membangunkan pengalaman jenama bermakna adalah berteraskan misi menginsankan perkhidmatan kewangan serta komitmen untuk membantu komuniti di pasaran operasinya.

“Kami akan terus berusaha untuk mengukuhkan kedudukan jenama merentasi semua saluran sedia ada dan memberi fokus untuk menyediakan pengalaman pelanggan bagi generasi akan datang seiring dengan arus teknologi pesat yang mempengaruhi gaya hidup dan cara orang ramai menjalankan urusan perbankan pada hari ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Brand Finance Asia Pasifik, Samir Dixit, berkata jenama Maybank berkembang kuat daripada tahun ke tahun dan pencapaian ini adalah satu ganjaran besar hasil pengurusan jenama secara strategik.

Menurutnya, aspek ‘menginsankan perkhidmatan kewangan’ akan menjadi kelebihan daya saing jangka panjang untuk Maybank di dunia digital pada masa ini.

“Saya amat berbesar hati untuk melihat bank serantau seperti Maybank mula menggugat kedudukan beberapa pemain global dan boleh bersaing di peringkat antarabangsa dalam penilaian kekuatan jenama,” katanya.

Brand Finance dalam tinjauan tahunannya, menilai beribu-ribu jenama syarikat terbesar di dunia di mana hasil analisis itu kemudian disenaraikan dengan 500 jenama paling berharga di dunia yang dipaparkan dalam laporan Brand Finance Global Brand 500.

Berita Harian X