Selasa, 29 Januari 2019 | 6:33pm
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Bhd, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir. Foto NSTP/Mahzir Mat Isa.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Bhd, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir. Foto NSTP/Mahzir Mat Isa.

Naik taraf stesen Petronas diteruskan

KUALA LUMPUR: Petronas Dagangan Bhd (PDB) akan meneruskan perancangan menaik taraf stesen Petronas sedia ada kepada reka bentuk baru yang lebih eksklusif dan menarik.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata ia telah menaik taraf 115 stesen Petronas sedia ada dengan reka bentuk baharu yang mendapat maklum balas baik dalam kalangan pelanggan.

"Untuk tahun ini, kami merancang untuk menaik taraf lebih 600 stesen Petronas di seluruh negara," katanya kepada media ketika majlis pelancaran Primax 95 Baharu dengan Pro-Drive di sini, hari ini.

Bahan api terbaharu Petronas itu menawarkan pemanduan lancar, prestasi enjin responsif dan kecekapan bahan api lebih baik.

Syed Zainal Abidin berkata PDB juga bercadang membuka 15 lagi stesen Petronas baharu pada tahun ini dengan lokasi bertumpu di kawasan yang memiliki jumlah trafik yang tinggi.

Katanya, pada masa ini jumlah keseluruhan stesen Petronas sedia ada iaitu sebanyak 1,053 cawangan dilihat mencukupi untuk memberi liputan terbaik kepada pengguna di seluruh negara.

"Bagaimanapun, kami sentiasa mencari peluang untuk meningkatkan pertumbuhan dan meluaskan rangkaian bagi mengukuhkan kedudukan di pasaran negara ini dan pembukaan cawangan adalah salah satu daripada strategi syarikat," katanya.

Sementara itu, PDB akan memperluaskan perkhidmatan Setel iaitu aplikasi pintar bayaran tanpa tunai pertama di Asia Tenggara kepada 268 stesen Petronas di Lembah Klang menjelang Mac ini bersempena pelancaran rasmi aplikasi itu.

"Pada ketika ini, perkhidmatan Setel hanya boleh didapati melalui 108 stesen Petronas saja dan pada tahun depan, kami akan memperluaskan ke seluruh negara, membabitkan 690 stesen Petronas," katanya.

Dalam masa sama, PDB turut merancang untuk menggunakan 30 unit trak bagi perkhidmatan ROVR iaitu penghantaran bahan api mudah alih inovatif yang akan berada di jalan raya seluruh negara bagi memberikan pengalaman baharu pengisian semula minyak kepada pelanggan 'fleet'.

Berita Harian X