Selasa, 29 Januari 2019 | 7:47pm

Anak syarikat DRB-HICOM, firma China keluar komponen kenderaan

KUALA LUMPUR: HICOM-Teck See Manufacturing Malaysia Sdn Bhd (HTS) memeterai perjanjian pegangan saham (SA) dengan Jiangsu Xinquan Automotive Trim Co Ltd (XQ) untuk menubuhkan syarikat usaha sama di Malaysia untuk mereka cipta, membangunkan dan mengeluarkan panel instrumen, konsol lantai dan perapi tingkap dan komponen berkaitan untuk kenderaan.

HTS ialah anak syarikat 51 peratus milik HICOM Holdings Bhd yang juga anak syarikat milik penuh DRB-HICOM.

“Menerusi penyertaan HTS dalam syarikat usaha sama (JVCO), Kumpulan DRB-HICOM akan dapat terus menyokong perniagaan PROTON yang termasuk perluasan ke pasaran ASEAN.

“JVCO juga menyasarkan untuk menembusi pasaran ASEAN dengan pembuatan produk menggunakan teknologi baharu,” kata DRB-HICOM dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Proton Holdings ialah anak syarikat 50.1 peratus milik DRB-Hicom.

Sebaik menerima kelulusan berkaitan daripada kerajaan China bagi pelaburan di luar negara, XQ akan menugaskan hak dan obligasinya di bawah SA kepada Xinquan Development Hong Kong Ltd (XQ HK), anak syarikat milik penuh yang akan diperbadankan di Hong Kong.

Nama dicadangkan bagi JVCO itu ialah XINQUAN-HICOM Malaysia Sdn Bhd.

HTS akan memiliki pegangan saham sebanyak 49 peratus dengan cadangan sumbangan modal sebanyak RM31.556 juta manakala XQ HK (51 peratus) akan mempunyai cadangan sumbangan modal sebanyak RM64.4 juta dalam JVCO.

Usaha sama yang dicadangkan itu adalah bagi tempoh 10 tahun dan akan diperbaharui secara automatik bagi tambahan 10 tahun lagi kecuali kedua-dua pemegang saham bersetuju untuk tidak memperbaharuinya dalam tempoh satu tahun ke tarikh ulang tahun kesepuluh tarikh penubuhan JVCO.

Berita Harian X