Rabu, 30 Januari 2019 | 2:28pm
DATUK Ruben Emir Gnanalingam. - Foto Rohanis Shukri
DATUK Ruben Emir Gnanalingam. - Foto Rohanis Shukri

Untung bersih Westports susut kepada RM533.47 juta

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Westports Holdings Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 susut kepada RM533.47 juta berbanding RM651.51 juta tahun sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata perolehannya turut berkurangan kepada RM1.61 bilion daripada RM2.09 bilion sebelumnya.

Bagi tahun kewangan dikaji, Westports mengendalikan sejumlah 9.5 juta truput kontena TEU iaitu unit bersamaan kontena 20 kaki yang adalah pertumbuhan 6.0 peratus berbanding 2017.

"Jumlah dagangan meningkat 18 peratus berbanding tahun sebelumnya yang menunjukkan aktiviti ekonomi domestik yang menggalakkan manakala jumlah penghantaran turut menokok kepada 6.2 juta TEU," katanya.

Bagi tempoh suku keempat berakhir pada 31 Disember 2018, keuntungan bersih Westports berkurangan kepada RM145.54 juta berbanding RM210.98 juta manakala perolehannya susut kepada RM418.02 juta daripada RM573.96 juta sebelum ini.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Ruben Emir Gnanalingam, berkata bagi tahun ini Westports mensasarkan mencapai prestasi jumlah truput kontena lebih tinggi dengan momentum pertumbuhan organik yang lebih tinggi berbanding tahun lalu.

"Kami juga sedang meneliti cadangan perluasan terminal kontena. Ini sejajar pendirian Westports untuk memperkukuh syarikat serta peranan Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan utama dagangan serta sebagai salah satu hab penghantaran yang penting di rantau Asia Tenggara," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X