Isnin, 4 Februari 2019 | 8:41pm
- Foto Hiasan

SC Estate, BS Civil majukan projek perumahan di Kedah

KUALA LUMPUR: SC Estate Construction Sdn Bhd (SEC), anak syarikat milik penuh SC Estate Builder Bhd, telah memeterai perjanjian usaha sama dengan BS Civil Engineering Sdn Bhd bagi pembangunan bercampur-campur di atas sebidang tanah pegangan bebas seluas 7.90 hektar di Bandar Alor Setar, Kedah.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, SC Estate Builder berkata SEC akan memajukan tanah milik BS Civil dan akan dibayar RM9 juta oleh pihak pemaju.

Pembangunan bercampur-campur itu merangkumi unit pangsapuri termasuk kos rendah dan unit lot kedai dengan nilai pembangunan kasar kira-kira RM93 juta.

“Pemaju akan memulakan kerja-kerja pembangunan itu dalam tempoh tiga bulan dari tarikh lesen dan permit serta kesemua kelulusan berkaitan atau pemilikan tanah kosong itu, yang mana terdahulu,” katanya.

Usaha sama terbabit akan menyumbang kepada keuntungan SC Estate Builder bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2020.

-- BERNAMA

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X