Khamis, 14 Februari 2019 | 8:29pm
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YB Yeo Bee Yin (tengah); Pengerusi Tenaga Nasional Bhd (TNB),Tan Sri Leo Moggie dan tetamu mengaul Yee Sang pada Majlis Mesra Tahun Baharu Cina TNB di Bangsar. Foto NSTP/Mahzir Mat Isa.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YB Yeo Bee Yin (tengah); Pengerusi Tenaga Nasional Bhd (TNB),Tan Sri Leo Moggie dan tetamu mengaul Yee Sang pada Majlis Mesra Tahun Baharu Cina TNB di Bangsar. Foto NSTP/Mahzir Mat Isa.

Leo Moggie 'kunci mulut' status di TNB

KUALA LUMPUR: Tan Sri Leo Moggie, yang menerajui Tenaga Nasional Bhd (TNB) sejak 15 tahun lalu, masih berteka-teki sama ada akan meneruskan jawatannya sebagai Pengerusi firma utiliti itu.

“Kakitangan TNB di sini meraikan Tahun Baharu Cina dengan anak-anak yatim. Tidak perlulah bercakap mengenai perniagaan hari ini,” katanya pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina TNB, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah khidmatnya akan dilanjutkan selepas bulan depan.

Dua tahun lalu, Lembaga Pengarah TNB melanjutkan khidmat Moggie sebagai pengerusi selama dua tahun sehingga 11 Mac 2019.

Moggie, 77, dilantik sebagai Pengarah oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc), pemegang saham khas TNB, sejak April 2004.

Kepentingan MoF Inc dalam TNB memberi kuasa kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk melantik Pengerusi, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah dalam Lembaga TNB.

Selain status pemegang saham khas, laporan tahunan TNB 2017 mendedahkan bahawa Khazanah Nasional Bhd memiliki 28.14 peratus dalam syarikat utiliti kebangsaan itu manakala Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memiliki 11.01 peratus.

Sejak perubahan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei 2018, berlaku gelombang pertukaran kepimpinan dalam kebanyakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Moggie menghabiskan hampir tiga dekad kerjayanya dengan kerajaan, yang mana beliau menjadi terkenal ketika pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1980-an.

Jawatan beliau sebelum ini adalah Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia (1998-2004) dan Menteri Kerja Raya (1989-1995). Sebelum itu, beliau adalah Menteri Kerajaan Tempatan (1977-1978) dan Menteri Kebajikan Masyarakat (1976-1977) dalam kerajaan negeri Sarawak.

Berita Harian X