Rabu, 20 Februari 2019 | 4:05pm
Pengarah Urusan Kumpulan Damansara Realty Bhd, Brian Iskandar Zulkarim. - Foto Rohanis Shukri

Untung bersih Damansara Realty RM19.5 juta

KUALA LUMPUR: Damansara Realty Bhd, merekodkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 9.4 peratus kepada RM19.5 juta bagi tahun berakhir 31 December 2018, sebahagian besarnya didorong oleh pertumbuhan kukuh dalam segmen Pengurusan Kemudahan Bersepadu (IFM).

Pendapatan bagi tempoh dikaji melonjak 21.9 peratus kepada RM304.13 juta daripada RM249.48 juta pada tahun sebelumnya.

Keuntungan sebelum cukai meningkat 32.9 peratus kepada RM25.41 juta dan keuntungan operasi naik 29 peratus kepada RM26.67 juta.

Selepas melaraskan perbelanjaan sekali untuk latihan korporat tahun lalu, keuntungan operasi kumpulan melonjak lebih 300 peratus kepada RM20.67 juta pada 2018, berbanding RM6.57 juta pada 2017.

Pengarah Urusan Kumpulan, Brian Iskandar Zulkarim, berkata peningkatan ketara dalam pendapatan berulang adalah cerminan kepada keupayaan kumpulan untuk menjana pendapatan berkualiti lebih tinggi, sejajar dengan peralihan fokus perniagaan ke pasaran pertumbuhan tinggi dan projek berkeuntungan tinggi.

“Memiliki pelbagai aliran pendapatan berulang menimbulkan menyekat kesan pasaran hartanah yang perlahan, dengan IFM menjadi pemacu utama keuntungan dan pertumbuhan organik yang mampan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Melangkah ke hadapan, katanya, syarikat akan menumpukan untuk mengembangkan kemampuan IFM dalam teknologi dan inovasi bagi membolehkan pelanggannya meningkatkan kecekapan, produktiviti dan automasi di samping mengurus peningkatan kos buruh.

Bagi suku keempat berakhir 31 December 2018, Damansara Realty mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM14.88 juta daripada pendapatan RM82.3 juta.

Berita Harian X