Rabu, 20 Februari 2019 | 6:27pm
PENGURUS Besar LEGOLAND Malaysia Resort, Kurt Stocks dan Pengarah Jualan dan Pemasarannya, Thila Munusamy pada taklimat media di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Aziah Azmee

LEGOLAND Malaysia sedia tarikan baharu sepanjang 2019

KUALA LUMPUR: LEGOLAND Malaysia Resort menawarkan beberapa tarikan dan kemudahan baharu di taman tema itu termasuk pelancaran akuarium SEA LIFE Malaysia pada April ini, LEGOLAND Hotel yang dinaik taraf dan promosi menarik lain.

Pengurus Besarnya, Kurt Stocks, berkata SEA LIFE Malaysia, akan menjadi satu-satunya SEA LIFE di rantau ini yang menggabungkan konsep akuarium interaktif dengan keunikan elemen LEGO.

Beliau berkata, SEA LIFE yang juga jenama akuarium terbesar di dunia akan menawarkan peluang kepada pengunjung untuk mengenali 13,000 hidupan laut daripada 120 spesis dalam persekitaran selamat, menyeronokkan dan bercirikan pendidikan.

"LEGOLAND Malaysia Resort berharap keluarga yang melawat akuarium ini akan pulang ke rumah dengan semangat dan inspirasi untuk mempelajari, mencintai dan memelihara laut," katanya pada taklimat media di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jualan dan Pemasarannya, Thila Munusamy.

Mengulas lanjut, Stocks berkata bagi memastikan semua pengunjung berpeluang menikmati sepenuhnya tawaran-tawaran baharu di LEGOLAND Malaysia tahun ini, pihak taman peranginan itu membenarkan pemegang MyKad mendapatkan satu pas tahunan pada harga tiket untuk sehari.

Katanya, dengan pas tahunan baharu itu, rakyat Malaysia boleh menikmati akses tanpa had ke Taman Tema LEGOLAND dan Taman Air, selain akses percuma ke SEA LIFE Malaysia, sebaik sahaja dibuka kepada orang ramai.

“Kami memulakan tahun 2019 dengan kukuh dan tidak sabar untuk memperkenalkan pengalaman SEA LIFE Malaysia buat pertama kalinya April ini. Pembukaan SEA LIFE Malaysia, pengalaman baharu hotel kami serta pengalaman NINJAGO menyeluruh kepada peminat akan menjadikan LEGOLAND Malaysia Resort destinasi keluarga terbaik di rantau ini.

“Dengan semua tarikan dan aktiviti baharu yang menyeronokkan ini, kami akan terus membangunkan DNA LEGO kami dan menerapkan elemen permainan kreatif utama untuk memastikan seluruh anggota keluarga mengambil bahagian," katanya.

Sepanjang 2019 ini, pengunjung juga katanya boleh terus menantikan pembaharuan di tempat peranginan itu, setiap kali mereka datang berkunjung.

Pada 2019 saja, LEGOLAND Malaysia Resort melancarkan tayangan filem 4D baharu, LEGO City 4D Movie, iaitu Officer in Pursuit! dan Hari Acara Tayangan Filem LEGO yang membolehkan pelawat berinteraksi dengan watak kegemaran mereka daripada francais LEGO Movie.

LEGOLAND Hotel juga akan dinaik taraf termasuk bilik hotel NINJAGO baharu dan bar bertemakan LEGO baharu di tepi kolam mandi.

Dengan pas tahunan baharu itu, pemegang pas akan mempunyai akses tanpa had sepanjang tahun ke Taman Tema LEGOLAND dan Taman Air, termasuk akses percuma ke SEA LIFE Malaysia.

Pas tahunan baharu boleh dibeli melalui laman rasmi LEGOLAND bagi tempoh terhad di www.legoland.com.my.

Berita Harian X