Khamis, 21 Februari 2019 | 3:37pm

Untung bersih sembilan bulan Ambank Group RM1.05 bilion

KUALA LUMPUR: AMMB Holdings Bhd (Ambank Group) mencatatkan keuntungan bersih RM1.05 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama berakhir 31 Disember 2018.

Keuntungan yang lebih baik itu dipacu oleh jumlah pinjaman lebih tinggi, asas kos yang lebih rendah dan peningkatan dari segi pemulihan.

Bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2018, kumpulan perbankan itu mencatat keuntungan bersih sebanyak RM349.88 juta, naik 59.8 peratus daripada RM218.98 juta yang dicatatkan dalam suku sama tahun sebelumnya.

Pendapatan yang diraihnya dalam tempoh sembilan bulan meningkat dua peratus kepada RM2.97 bilion, disokong oleh kenaikan 5.9 peratus pendapatan faedah bersih (NII).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Sulaiman Mohd Tahir, berkata hasil sepanjang tempoh sembilan itu menunjukkan bahawa pelaksanaan strategi bank itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini mula membuahkan hasil di peringkat perniagaan dan keuntungannya.

"Ia disokong oleh fakta bahawa keuntungan bersih kami dalam tempoh ini meningkat 19 peratus bagi tahun ke tahun berbanding pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan dan peningkatan dalam ketidaktentuan pasaran manakala pendapatan meningkat dua peratus disokong oleh pertumbuhan pinjaman yang stabil, memacu pertumbuhan pendapatan faedah bersih sebanyak 5.9 peratus,” katanya dalam satu kenyataan..

Beliau berkata, Ambank Group juga telah mencapai beberapa pemulihan korporat yang besar, dengan meningkatkan perolehannya dengan pulangan ekuiti (ROE) meningkat kepada 8.2 peratus, dalam landasan untuk mencapai sasaran ROE sebanyak 8.5 peratus.

Kumpulan itu mencatatkan pemulihan bersih sebanyak RM33.4 juta dalam tempoh sembilan bulan dikaji berbanding caj rosot nilai sebanyak RM32.9 juta dalam tempoh sama tahun lalu, dibantu oleh beberapa pemulihan korporat yang besar, katanya.

Berita Harian X