Khamis, 21 Februari 2019 | 5:02pm
Pengarah Eksekutif Bio Osmo Bhd, Azrin Mirzhan Kamaluddin. Foto NSTP/Amirudin Sahib.

Bio Osmo rancang kukuh jenama Impiana Hotel

SUBANG: Bio Osmo Bhd yang selepas ini akan dikenali sebagai Impiana Hotels Bhd meninjau untuk mengembangkan kehadiran jenama Impiana Hotel di Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu.

Pengarah Eksekutifnya, Azrin Mirzhan Kamaluddin, berkata lokasi bakal menjadi pertimbangan utama sebelum pihaknya dapat mempertimbangkan opsyen pengembangan itu bagi memastikan jenama premium Impiana Hotel dikekalkan.

“Jenama Impiana Hotel hadir di lokasi utama di KLCC, Cherating, Pangkor dan Ipoh di Malaysia. Berada sebaris hotel antarabangsa utama di Cemagi dan Seminyak di Bali, Indonesia, selain hadir di lokasi utama di Phuket dan Koh Samui di Thailand.

“Ia sejajar penyelarasan semula operasi syarikat selepas melupuskan operasi perniagaan air minuman botol yang rugi baru-baru ini bagi memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan hospitaliti,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Bio Osmo di sini, hari ini.

Azrin berkata, bagi 2019 kumpulan akan menguruskan dua hotel/villa baharu, iaitu Impiana Private Villas di Ubud, Bali dan Impiana Seoul yang terletak di kawasan komersial terkenal Gangnam di Seoul, Korea.

Semua hotel dan villa di bawah jenama Impiana di luar negara dan beberapa di Malaysia tidak dimiliki secara langsung oleh syarikat itu, sebaliknya ia hanya terbabit dalam aspek pengurusan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Impiana Pangkor akan menyaksikan pembangunan 100 unit villa baharu, manakala Impiana Cherating sedang berlangsung pembangunan baharu suite khidmat dan villa.

Pada EGM semalam Bio Osmo mendapat persetujuan pemegang sahamnya bagi cadangan pengambilalihan dan suntikan aset hotel Kumpulan Impiana ke dalam syarikat itu.

Penukaran rasmi nama syarikat kepada Impiana Hotels Bhd dijangkakan pada separuh pertama tahun ini.

Bio Osmo sudah memeterai enam perjanjian jualan saham bagi mengambil alih hotel di bawah jenama Impiana di Kuala Lumpur, Ipoh dan Cherating, tanah komersial di Pangkor, serta syarikat pengurusan hotel Impiana dengan pertimbangan tunai RM425.9 juta.

Ditanya berhubung unjuran prestasi kewangan tahun ini, Azrin berkata dengan pelupusan operasi perniagaan air minuman botol, pihaknya menjangka akan segera meraih manfaat daripada keuntungan sedia ada operasi perhotelan.

Bio Osmo mencatatkan kerugian bersih RM8.751 juta bagi tempoh 15 bulan berakhir 30 September 2018 berbanding kerugian bersih RM11.978 juta tempoh sama setahun sebelumnya.

Azrin berkata, selepas cadangan pengambilalihan itu, Bio Osmo bakal menyaksikan kunci kira-kira yang lebih sihat, menjana RM100 juta tunai daripada penjualan saham baharu dan saham sedia ada milik pemegang saham terbesar, Datuk Seri Farouk Abdullah, dan mengurangkan hutang atau gearan daripada 0.28 kali kepada 0.12 kali.

Berita Harian X