Ahad, 24 Februari 2019 | 6:39pm
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UDA Holdings Bhd, Datuk Ahmad Abu Bakar. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UDA Holdings Bhd, Datuk Ahmad Abu Bakar. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Pelancaran projek Desaru Park City alami sedikit kelewatan - UDA

JOHOR BAHRU: Pelancaran projek terbaharu UDA Holdings Bhd (UDA) di Johor iaitu Desaru Park City di Bandar Penawar, dekat Kota Tinggi akan mengalami sedikit kelewatan daripada tempoh dirancang sebelum ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Ahmad Abu Bakar.

Beliau berkata, kelewatan itu disebabkan pihaknya masih belum menerima kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan berhubung tanah yang akan dimajukan.

“Ada sedikit masalah tanah, tetapi kita akan uruskan secepat mungkin. Diharapkan kelulusan dapat diperolehi pada hujung tahun ini supaya projek boleh dimulakan tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat oleh UDA untuk pembangunan Masjid An-Nur, Bandar UDA Utama, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Hartanah UDA, Mohd Noor Azmi Salleh.

Desaru Park City dengan nilai pembangunan kasar RM1.2 bilion yang dirancang untuk dilancarkan pada akhir 2018 atau suku pertama tahun ini adalah projek usaha sama UDA dengan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) dan IR Security.

Ia berkeluasan kira-kira 40 hektar dan merangkumi lima fasa iaitu dengan fasa pertama membabitkan pembinaan 135 unit rumah teres satu tingkat di bawah Program Rumah Mampu Milik Johor, 350 unit pangsapuri Rumah Komuniti Johor, 69 unit rumah teres dua tingkat serta 28 unit kedai dan pejabat.

Mengenai penyerahan zakat itu, Ahmad berkata ia adalah kesinambungan program tanggungjawab sosial korporat pihaknya pada tahun ini.

Awal tahun ini, UDA menyerahkan sumbangan zakat sebanyak RM220,000 di zon utara meliputi 28 institusi di kawasan pembangunan UDA di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, manakala pada Februari, ia menyerahkan wang zakat RM300,000 kepada 16 institusi di Pahang dan Terengganu.

“Sumbangan zakat kali ini adalah yang terbesar bagi tahun ini yang diberikan kepada sesebuah institusi iaitu melibatkan RM500,000.

“Pihak UDA yakin sumbangan untuk pembangunan Masjid An-Nur, Bandar Uda Utama ini sesuai dan perlu kerana UDA telah bertapak lama di zon selatan khususnya di Johor Bahru,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X