Isnin, 25 Februari 2019 | 4:07pm
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (lima dari kiri) melancarkan kedai pertama Tealive di Shanghai, China.

Tealive rancang kukuh kedudukan di China

SHANGHAI: Jenama teh bubble Malaysia, Tealive, memperluaskan kedudukannya di China pada tahun ini dengan menubuhkan 10 kedai korporat di pasaran pengguna teh terbesar dunia itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Sdn Bhd, Bryan Loo, berkata langkah itu membolehkan Tealive mendapat kedudukan yang kukuh di China melalui francais dan menyasarkan untuk membuka sebanyak 500 kedai dalam tempoh tiga tahun.

Pada Jun 2018, Loob Holding mengumumkan pelannya untuk meneroka China apabila ia memeterai perjanjian usaha sama secara rasmi dengan rakan-rakan di China, iaitu Zhejiang Boduo International Trade Co Ltd dan Shanghai Panfei International Trade Co Ltd.

"Di sini, pelaburannya tinggi, kami mahu menjadikannya sebagai aset ringan, seperti McDonalds dan KFC, apabila memfrancaiskan kebanyakan kedai kami di China.

"Oleh itu, sebelum kami memfrancaiskan cawangan, kami akan menubuhkan kedai korporat untuk menguji dan membuktikan model itu berjaya, hanya selepas itu kami akan meninjau (potensi) usahawan tempatan (pemegang francais) di China," katanya kepada wartawan Malaysia selepas pelancaran rasmi kedai pertamanya di sini oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Kedai itu, yang dibuka pada November 2018, mendapat sambutan luar biasa dengan permintaan yang menggalakkan terhadap produk berasaskan teh dengan perisa durian diikuti perisa lain seperti cempedak, gula melaka, halia Bentong dan teh Sabah.

Loo berkata, Tealive akan turut menyediakan produk makanan untuk menyokong pengembangannya dengan membawa masuk antaranya, roti ‘Seremban Lucky King’ yang terkenal.

Produk itu akan diperkenalkan di kedainya di Hangzhou, cawangan kedua, yang akan dibuka dalam tempoh dua bulan.

"Oleh itu, apa yang kami cuba menampilkan dan mempromosikan bukan hanya bahan-bahan dari Malaysia tetapi juga budaya Malaysia," katanya sambil menambah ia turut merancang untuk memperkenalkan produk asas teh Cameron Highland tidak lama lagi di pasaran China.

-BERNAMA

Berita Harian X