Selasa, 26 Februari 2019 | 6:40pm
Pengurus Besar Komunikasi Korporat Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Nik Anis Nik Zakaria. Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor.

MAHB komited naik taraf sistem bagasi

SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) komited untuk menaik taraf Sistem Pengendalian Bagasi (BHS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam tempoh tiga tahun, bermula tahun ini.

Pengurus Besar Komunikasi Korporat MAHB, Nik Anis Nik Zakaria, berkata pengendali lapangan terbang itu dijangka memperuntukkan pelaburan antara RM250 hingga RM300 juta bagi menaik taraf sistem BHS di KLIA secara berperingkat dari tahun ke tahun.

Beliau berkata, usaha menaik taraf sistem pengendalian bagasi itu termasuklah menggantikan teknologi sedia ada kepada yang baharu bagi memudahkan pengguna lapangan terbang itu.

“KLIA dan klia2 menggunakan satu sistem dan rangkaian lapangan terbang yang sama, namun sistem kendalian bagasi adalah berbeza mengikut keperluan di dua lapangan terbang itu.

“Langkah untuk menaik taraf sistem bagasi di KLIA adalah tepat dan bersesuaian dengan tuntutan semasa memandangkan ia beroperasi lebih 20 tahun dan memerlukan pembaharuan bagi keselesaan kakitangan dan penumpang,” katanya pada majlis pengenalan BHS kepada media di sini, hari ini.

KLIA yang beroperasi pada 1998 merekodkan 14.8 juta penumpang setahun dengan purata 40,516 penumpang sehari serta 11.5 juta bagasi setahun dengan kira-kira 32,000 bagasi sehari.

Malah, selepas 20 tahun beroperasi diikuti dengan pembukaan Klia2 pada 2014, jumlah penumpang meningkat kepada 60 juta penumpang dan 31 juta bagasi pada tahun lalu.

Ketika ini terdapat 68 syarikat penerbangan yang beroperasi di KLIA dan klia2.

Nik Anis berkata, sistem baharu bagi kendalian bagasi itu juga adalah bagi memastikan kecekapan proses pemeriksaan keselamatan bagasi penumpang.

“Setakat ini, prestasi mengikut masa (OTP) bagi ketibaan bagasi di KLIA berdasarkan perjanjian perkhidmatan (SLA) untuk beg pertama adalah pada tempoh 20 minit bagi terminal utama dan 25 minit untuk bangunan satelit.

“Dengan penggunaan sistem kendalian bagasi yang baharu, MAHB yakin proses kendalian bagasi dapat dipercepat dan dikurangkan kepada bawah 10 minit bagi beg pertama di bangunan terminal utama dan satelit,” katanya.

Berita Harian X