Selasa, 26 Februari 2019 | 9:18pm

I-Bhd catat keuntungan sebelum cukai RM76.78 juta

KUALA LUMPUR: I-Bhd mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM76.78 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, berbanding RM89.83 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

Pendapatannya dalam tahun dikaji berjumlah RM375.14 juta berbanding RM455.18 juta tahun sebelumnya.

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2018, kumpulan mencatatkan pendapatan lebih rendah RM48 juta dan keuntungan sebelum cukai RM5.9 juta berbanding pendapatan RM139.5 juta dan keuntungan sebelum cukai RM21.7 juta bagi suku sama 2017.

Bagi pembangunan hartanah, pendapatan lebih rendah dicatatkan pada suku keempat apabila pembangunan Plot 2 disiapkan dengan projek Liberty, Parisien dan Hyde diserahkan pada suku ketiga 2018.

Bahagian pelaburan hartanah pula menyaksikan pendapatan meningkat sedikit pada suku keempat 2018 disebabkan oleh pajakan pelaburan hartanah tambahan dalam segmen berkenaan.

Sementara itu, pendapatan segmen pelancongan agak mapan dengan keuntungan sebelum cukai lebih tinggi bagi suku keempat susulan pengurusan kos lebih berkesan.

Menuju ke hadapan, Lembaga Pengarah menjangkakan pasaran lebih mencabar bagi segmen pembangunan hartanah di tengah-tengah penyatuan kedua ekonomi negara dan global, seterusnya mengambil pendekatan lebih berhati-hati.

Jualan belum dibilkan kumpulan sehingga 31 Disember 2018 berjumlah RM149 juta, berbanding RM160.7 juta pada 30 September 2018.

Sementara itu, bagi pelancaran projek baharu di i-City, I-Bhd akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan nilai pembangunan di i-City.

Dengan pembangunan pesat semasa, i-City dijangka akan menjadi pusat ‘segitiga emas’ baharu di Selangor yang menyediakan peluang perniagaan dan pelaburan.

Selain itu, kumpulan juga akan memberi tumpuan berterusan bagi pelaburan pembangunan hartanah seperti Menara Pejabat Korporat, Double Tree Hilton dan Pusat Konvensyen kedua yang akan menyumbang aliran pendapatan berulang kepada kumpulan dalam tempoh terdekat.

Turut diberi tumpuan ialah Central i-City Shopping Centre (usaha sama dengan Central Pattana, Thailand) yang dijangka dibuka secara rasmi pada 27 April depan.

Berita Harian X