Rabu, 27 Februari 2019 | 2:04pm

RHB Bank untung RM2.305 bilion pada 2018

KUALA LUMPUR: RHB Bank Bhd mencatatkan untung bersih RM565.42 juta bagi suku kewangan keempat berakhir 31 Disember 2018, meningkat 22.9 peratus berbanding RM460.07 juta suku sama tahun sebelumnya.

Pendapatan pada suku dikaji meningkat kepada RM3.309 bilion berbanding RM3.074 bilion suku sama tahun sebelumnya.

Bank itu mencatat keuntungan bersih terkumpul berjumlah RM2.305 bilion bagi keseluruhan tahun kewangan 2018, meningkat 18.2 peratus berbanding RM1.950 bilion tahun sebelumnya.

Ia diraih daripada pendapatan yang meningkat kepada RM12.690 bilion berbanding RM11. 869 bilion setahun lalu, demikian menurut kenyataan yang difailkan bank itu di Bursa Malaysia sebentar tadi.

Bank itu berkata, peningkatan keuntungan itu disumbang peningkatan dalam pendapatan berasaskan dana bersih sebanyak 8.5 peratus kepada RM4.94 bilion berbanding setahun lalu.

Selain itu katanya, ia turut disumbang peningkatan dalam pendapatan bukan berasaskan dana sebanyak 1.8 peratus kepada RM1.86 bilion, disumbang sebahagian besarnya oleh keuntungan tukaran asing dan dagangan, dan pendapatan pelaburan.

Berita Harian X