Khamis, 28 Februari 2019 | 5:35pm

BIMB catat keuntungan tertinggi

KUALA LUMPUR: BIMB Holdings Bhd (BHB) mencatatkan keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) RM1.07 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, paras tertinggi yang pernah dicatatkannya.

Ketua Pegawai Eksekutif BHB, Mohd Muazzam Mohamed, berkata prestasi yang kukuh ini diterjemahkan kepada 15.4 peratus pulangan ke atas ekuiti (ROE) selepas cukai, sekali gus mengatasi kebanyakan peserta industri.

“Pendapatan sesaham juga lebih tinggi pada 40.36 sen berbanding 37.94 sen pada tahun kewangan sebelumnya,

manakala aset bersih sesaham meningkat kepada RM2.97 berbanding RM2.77 pada akhir Disember 2017,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi tempoh yang dikaji, keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang saham BHB meningkat 10.1 peratus atau RM62.3 juta kepada RM682.1 juta.

Sepanjang tahun berkenaan, dividen interim satu peringkat sehingga RM262.5 juta atau 15.5 sen sesaham telah dicadangkan untuk sembilan bulan berakhir September 2018.

Lembaga Pengarah juga mencadangkan supaya Pelan Pelaburan Semula Dividen (DRP) dibuat untuk keseluruhan dividen interim satu peringkat yang dicadangkan.

BHB mencatatkan kadar langganan DRP sebanyak 85.95 peratus, menunjukkan komitmen dan penyertaan pemegang saham yang kukuh.

Bagi perniagaan perbankan Islam, Kumpulan Bank Islam (Bank Islam) mencatatkan PBZT sebanyak RM810.3 juta untuk tahun kewangan 2018, peningkatan RM43.2 juta atau 5.6 peratus berbanding RM767.1 juta pada tahun kewangan

sebelumnya.

Peningkatan keuntungan Bank Islam adalah disebabkan oleh pendapatan lebih tinggi berikutan kenaikan Kadar Asas dan Kadar Pembiayaan Asas sebanyak 25 mata asas berkuatkuasa Februari 2018 serta pertumbuhan pembiayaan yang kukuh sebanyak 8.5 peratus, hampir dua kali ganda pertumbuhan pembiayaan purata industri sebanyak 4.3 peratus pada November 2018.

Pembiayaan meningkat RM3.6 bilion untuk mencecah RM45.7 bilion pada 31 Disember 2018 dengan kualiti aset kekal kukuh dan berdaya tahan, meskipun persekitaran ekonomi yang mencabar.

Dalam perniagaan takaful, Kumpulan Takaful Malaysia Keluarga Bhd (Takaful Malaysia) mencatatkan kenaikan 32.9 peratus dalam PBZT kepada RM337.0 juta untuk tahun kewangan 2018, berbanding RM253.7 juta yang dicapai pada tahun sebelumnya.

Keuntungan lebih tinggi adalah disebabkan oleh pendapatan lebih tinggi yuran wakalah yang timbul daripada pertumbuhan mantap perniagaan keluarga dan takaful am.

Berita Harian X