Jumaat, 1 March 2019 | 6:40pm

Brahim's disenarai dalam PN17

KUALA LUMPUR: Saham Brahim’s Holding Bhd (BHB) susut 43.9 peratus pada penutup hari ini selepas syarikat itu disenaraikan dalam status Syarikat Nota Amalan 17 (PN17) susulan ekuiti pemegang sahamnya jatuh di bawah paras 25 peratus.

Pada jam 5 petang, saham penyedia perkhidmatan katering itu berada pada 11.5 sen dengan 20.38 juta saham diniagakan.

Pada jam 12 tengahari, saham BHB jatuh 10 sen ke paras 10.5 sen. Ia dibuka pada 14 sen pagi semalam.

Saham syarikat itu pada Khamis ditutup pada 20.5 sen.

“Berdasarkan keputusan kewangan belum diaudit Brahim’s untuk suku keempat berakhir 31 Disember 2018, ekuiti pemegang saham syarikat pada dasar yang disatukan bernilai kurang daripada RM40 juta atau mewakili 25 peratus atau kurang daripada modal terbitannya.

“Disebabkan itu BHB kini dianggap sebagai syarikat PN17,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia di sini semalam.

BHB berkata, pihaknya mempunyai tempoh masa 12 bulan dari sekarang untuk menyerahkan pelan regularisasi kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan melaksanakannya dalam jangka masa yang ditetapkan oleh SC atau Bursa Securities.

“Syarikat kini sedang mencari formula dan rancangan untuk menyusun semula keadaan kewangan dengan pengumuman yang akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.

Bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2018, kerugian bersih BHB adalah pada RM103.14 juta berbanding RM6.94 juta pada tahun sebelumnya.

Pendapatan BHB turun 6 peratus kepada RM274.04 juta daripada RM291.56 juta tahun sebelumnya.

Berita Harian X