Selasa, 5 March 2019 | 11:07am

Khazanah timbang jual Legoland

SINGAPURA: Sayap pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) sedang mempertimbangkan untuk menjual Legoland Malaysia Resort (Legoland Malaysia), demikian menurut sumber yang mempunyai maklumat berkaitan.

Memetik laporan Bloomberg, sumber yang enggan dikenali itu berkata, taman tema itu mungkin bernilai sekitar RM1 bilion (AS$245 juta) termasuk hutang.

Menurutnya lagi, Khazanah kini sedang mempertimbangkan potensi menjual pelaburannya sebagai sebahagian daripada semakan semula aset bukan terasnya.

Legoland Malaysia yang terletak di Johor kini dimiliki oleh unit di bawah Khazanah dan dikendalikan oleh Merlin Entertainments Plc. Ia adalah taman bertemakan Lego yang pertama di Asia dengan kawasan seluas lebih 50 padang bola sepak dengan lebih daripada 15,000 model Lego yang diperbuat daripada lebih 60 juta kepingan Lego.

Sehingga kini, masih belum ada keputusan muktaman mengenainya dan Khazanah juga mungkin mengekalkan hartanah berkenaan, kata sumber.

Wakil daripada Khazanah tidak memberikan sebarang maklum balas berhubung perkara itu.

-BLOOMBERG

Berita Harian X