Selasa, 5 March 2019 | 11:36am

Khazanah rugi buat kali pertama sejak 2005

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), mencatatkan kerugian sebelum cukai RM6.271 bilion pada 2018 berbanding keuntungan RM2.896 bilion tahun sebelumnya, kerugian pertama sayap pelaburan kerajaan itu sejak 2005.

Nilai portfolio menerusi Nilai Bersih Dilaraskan (NWA) merosot kepada RM91 bilion pada 2018, susut 21.6 peratus daripada RM116 bilion pada 2017.

Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata keuntungan kumpulan terjejas akibat jumlah pelupusan yang lebih sedikit berbanding tahun sebelumnya, pendapatan dividen yang berkurangan dan peruntukan bagi susut nilai yang lebih tinggi, seiring dengan ketidaktentuan pasaran.

“Portfolio Khazanah terjejas akibat ketidaktentuan ekonomi global pada 2018 yang menyaksikan pasaran yang perlahan berikutan ketegangan geopolitik dan prospek pertumbuhan kurang memberangsangkan bagi pasaran baharu muncul.

“Selain itu, portfolio kumpulan juga dipengaruhi oleh perkembangan domestik termasuk tinjauan pendapatan yang suram dan beberapa perubahan dalam pengawalseliaan dalam tempoh dikaji,” katanya pada sidang media Ulasan Tahunan Khazanah 2019 di sini, hari ini.


Laman sesawang Khazanah Nasional Bhd di http://www.khazanah.com.my/Home?lang=ms-my

Beliau berkata, dengan prestasi kewangan berkenaan, kumpulan masih mengisytiharkan dividen sebanyak RM1.5 bilion bagi 2018.

Pada 2018, kerajaan memulakan penstrukturan dan penyusunan semula Khazanah, membabitkan perubahan kepimpinan dan pengurusan kanan dalam Lembaga Pengarah.

Mengulas lanjut, Shahril Ridza berkata, Khazanah akan terus fokus untuk meningkatkan kekayaan jangka panjang negara.

“Peranan utama Khazanah di bawah mandat baharu adalah meningkatkan kekayaan jangka panjang menerusi dua objektif pelaburan iaitu komersial dan strategik,” katanya.

Ditanya mengenai laporan media bahawa pihaknya berhasrat menjual Legoland Resort di Johor, Shahril Ridza berkata, ketika ini tiada sebarang perbincangan mengenai penjualan aset berkenaan dan tidak menerima sebarang tawaran dari mana-mana pihak.

“Projek berkenaan berjalan dengan baik malah ia memberi pulangan yang positif. Ketika ini tiada sebarang perbincangan dan terima sebarang tawaran (pembelian),” katanya.

Taman tema berkenaan dianggarkan bernilai RM1 bilion (AS$245 juta) termasuk hutang.

Berita Harian X