Selasa, 5 March 2019 | 12:28pm
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes (dua dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama 500 Startups, Christine Tsai dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia (Teknologi dan Digital) Aireen Omar.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes (dua dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama 500 Startups, Christine Tsai dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia (Teknologi dan Digital) Aireen Omar.

Anak syarikat digital AirAsia lancar modal teroka global

SAN FRANCISCO/NEW YORK: Syarikat perniagaan digital AirAsia, RedBeat Ventures melancarkan dana modal teroka global, RedBeat Capital dan membentuk kerjasama strategik dengan firma 500 Startups.

500 Startups adalah peneraju syarikat pemula niaga dan firma modal teroka yang berpangkalan di San Francisco, Amerika Syarikat (AS).

Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, berkata RedBeat Capital diwujudkan untuk menyokong syarikat pemula niaga di peringkat awal dan melabur dalam syarikat pemula niaga yang berskala memasuki atau mengembangkan pasaran di Asia Tenggara.

Katanya, syarikat pemula niaga itu haruslah yang memberi tumpuan khusus dalam segmen perjalanan dan gaya hidup, logistik dan teknologi kewangan.

“AirAsia dan RedBeat Capital kini mencari bakat terbaik di dunia untuk membantu kami membangunkan ekosistem teknologi perjalanan dan kami teruja untuk memulakan pencarian ini di San Francisco.

“Kami berhasrat untuk memulakan operasi pada tahun ini bersama dengan 500 Startups dan pasukannya untuk mengenal pasti dan melabur dalam syarikat pemula niaga yang ingin berkembang dan maju, terutama ke Asia Tenggara di mana kami mempunyai rangkaian, data dan kepakaran serantau untuk membantu membangunkan perniagaan.

“RedBeat Capital juga akan melabur dalam syarikat digital untuk memberi tumpuan dalam kecerdasan buatan, internet dan keselamatan siber,” katanya.

Mengulas lanjut, Tony berkata, dengan sokongan syarikat penerbangan tambang rendah terbesar di Asia yang menerbangkan lebih 90 juta orang tetamu pada setiap tahun, RedBeat Capital bakal mempunyai pangkalan di San Francisco, memperoleh akses dalam aliran urusan 500 Startups, dan beberapa program peneraju bagi graduan serta idea terbaik di seluruh dunia.

“Portfolio semasa 500 Startups terdiri daripada 2,210 buah syarikat dan lebih 5,000 orang pengasas di 74 buah negara, termasuklah 10 syarikat unik seperti Twilio, SendGrid, Credit Karma, Canva dan Grab, serta 66 buah syarikat lain bernilai lebih daripada AS$100 juta,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif 500 Startups, Christine Tsai berkata rantau Asia Tenggara mempunyai lebih ramai pengguna Internet berbanding AS dan ia membuka peluang besar kepada usahawan.

“Dengan sokongan syarikat gergasi seperti AirAsia yang bekerjasama dengan pelbagai syarikat di Lembah Silikon seperti 500 Startups, ia adalah satu perkembangan yang mengujakan kerana kebanyakan syarikat berkenaan mempunyai cita-cita berskala global,” katanya.

RedBeat Ventures diterajui Ketua Eksekutifnya yang juga adalah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia (Teknologi dan Digital) Aireen Omar.

Aireen berkata, dana modal teroka yang dilancarkan akan melengkapi dan membangunkan transformasi AirAsia untuk menjadi sebuah syarikat teknologi perjalanan.

Berita Harian X