Selasa, 5 March 2019 | 3:23pm
Shahril Ridza taklimat media Prestasi Kewangan Khazanah 2018 dan Mandat Baharu, di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Aswadi Alias

Khazanah tidak tolak jual aset bernilai tinggi

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) tidak menolak sebarang cadangan penjualan aset sedia ada miliknya termasuk Legoland Malaysia Resort (Legoland Malaysia), jika ia mampu memberi pulangan nilai lebih baik pada masa depan.

Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata hasil penjualan daripada aset berpotensi dan memiliki nilai pasaran baik berupaya memberikan Khazanah modal baharu untuk meneroka cabang pelaburan lain yang berupaya memberikan keuntungan lebih tinggi.

“Setiap aset yang kita pegang (miliki) mesti ada prinsipnya yang mana nilai harga munasabah jika kita ingin mempertimbangkan untuk menjualnya.

“Jika kita memperoleh satu nilai atau harga yang memang menggalakkan atau lumayan, maka sepatutnya kita perlu menjual dan melabur ke dalam pelaburan baharu.

“Justeru, kita tidak menolak untuk melepaskan Legoland Malaysia jika ia mampu memberi pulangan yang baik,” katanya ketika ditemui selepas taklimat media Prestasi Kewangan Khazanah 2018 dan Mandat Baharu, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Khazanah perlu mendapatkan keuntungan daripada aset sedia ada bagi mendapatkan modal baharu untuk dilaburkan ke dalam pelaburan lain.

Bagaimanapun katanya, pada masa ini Khazanah belum mengadakan sebarang perbincangan mengenai penjualan Legoland Malaysia atau menerima sebarang tawaran daripada mana-mana pihak.

Mengulas lanjut, Shahril Ridza berkata, projek berkenaan pada masa ini masih berjalan dengan baik dan ia memberi pulangan yang positif.

Memetik laporan Bloomberg, sayap pelaburan kerajaan itu sedang mempertimbangkan untuk menjual Legoland Malaysia yang dianggarkan bernilai sekitar RM1 bilion (AS$245 juta), termasuk hutang.

Legoland Malaysia yang terletak di Johor kini dimiliki oleh unit di bawah Khazanah dan dikendalikan oleh Merlin Entertainments Plc.

Ia taman bertemakan Lego yang pertama di Asia dengan kawasan seluas lebih 50 padang bola sepak dengan lebih daripada 15,000 model Lego yang diperbuat daripada lebih 60 juta kepingan Lego.

Sementara itu, mengulas mengenai pelaburan Khazanah dalam syarikat pelaburan strategiknya, iaitu Malaysia Airlines dan Telekom Malaysia Bhd (TM), Shahril Ridza berkata, Khazanah masih menunggu pelan strategik daripada syarikat berkenaan untuk mengkaji semula nilai pelaburannya.

“Kami masih menunggu hasil laporan daripada mereka dan sebarang keputusan akan dibuat selepas laporan berkenaan diterima,” katanya.

Berita Harian X