Rabu, 6 March 2019 | 4:44pm
Sistem jualan e-hadiah kerjasama di antara Giftee Malaysia dan Tealive. Foto NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria.

Tealive sasar tembusi Jepun

KUALA LUMPUR: Loob Holding Sdn Bhd (Loob Holding), pengeluar jenama minuman teh gaya hidup, Tealive tidak menolak kemungkinan untuk menembusi pasaran Jepun pada hujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bryan Loo berkata, syarikat sentiasa meninjau pasaran berpotensi untuk diteroka bagi memperluas kehadiran Tealive di peringkat global.

Beliau berkata, ketika ini Loob Holding dalam peringkat perbincangan bersama beberapa pihak sebelum keputusan untuk membuka cawangan Tealive itu dimuktamadkan sepenuhnya.

“Kami mahu menjadikan Tealive sebagai jenama global dan untuk itu syarikat akan lebih berhati-hati memilih rakan kongsi bagi melaksanakan perniagaan ini.

“Buat masa ini, syarikat ada berjumpa dan berbincang dengan beberapa syarikat tempatan dan kami berharap ia dapat dimuktamadkan pada suku terakhir tahun ini,” katanya pada sidang media selepas majlis kerjasama Tealive dan Giftee Malaysia di sini, hari ini.

Kerjasama itu akan menyaksikan Giftee menawarkan perkhidmatan hadiah elektronik (e-hadiah) di lebih 200 cawangan Tealive di seluruh negara.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Giftee Inc, Mutsumi Ota.

Pada majlis itu, Ota berkata, sebagai penyedia perkhidmatan e-hadiah yang berpangkalan di Tokyo, pihaknya melihat potensi perkhidmatan itu di Malaysia.

Menurutnya, bagi operasi di negara ini, Giftee merancang untuk menjalin kerjasama dengan 10 jenama makanan dan minuman (F&B) dengan sasaran jualan kasar sebanyak RM5 juta bagi transaksi e-hadiah.

“Giftee juga terbuka untuk berkolaborasi dengan peruncit serta jenama lain seperti kedai serbaneka, gedung sukan dan juga pengendali pawagam tempatan.

“Kami ketika ini dalam fasa perbincangan dengan tiga jenama F&B bagi kerjasama untuk perkhidmatan e-hadiah ini, yang mana dua jenama sudah mempertimbang untuk memulakan servis ini,” katanya.

Berita Harian X