Rabu, 6 March 2019 | 5:07pm
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PLI, Giuseppe D’Arrigo

PETRONAS tembusi pasaran kenderaan elektrik

GENEVA: PETRONAS Lubricants International (PLI), unit pembuatan dan pemasaran minyak pelincir global PETRONAS menembusi pasaran kenderaan elektrik (EV) menerusi produk rangkaian e-cecair PETRONAS iona bagi kereta penumpang.

Usaha sebahagian daripada usaha syarikat untuk mendepani perubahan iklim dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2).

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PLI, Giuseppe D’Arrigo, berkata peralihan global ke arah penggunaan tenaga lebih bersih memberi peluang kepada syarikat untuk mengurangkan pelepasan CO2 dengan penyelesaian cecair yang boleh diakses oleh semua.

“PETRONAS iona memberikan prestasi optimum dan ketahanan komponen untuk EV.

“Ia terdiri daripada tiga rangkaian produk iaitu Thermal, Integra dan Glide. Cecair bateri Thermal membantu mengoptimumkan dan kecekapan penggunaan EV sementara Integra bagi sistem pemacu bersepadu pengurusan geseran.

“Glide adalah gris galas generasi baharu untuk pemanduan lebih tenang, tahan lama dan lasak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pengenalan iona dan matlamat PLI untuk menyediakan penyelesaian cecair bagi EV adalah satu langkah ke hadapan dalam menukar janji kepada realiti.

“Ini adalah penyelesaian ke arah pengangkutan yang lestari pada masa depan. Dunia hari ini lebih menekankan kepada tanggungjawab alam sekitar dan begitu juga dengan PETRONAS,” katanya.

D’Arrigo berkata, pengeluar peralatan tulen (OEM) dalam sektor automotif perlu mematuhi pelbagai peraturan pengurangan pelepasan karbon.

“Kami sentiasa bersedia dan secara konsisten mengembangkan Penyelesaian Teknologi Cecair bagi memenuhi cabaran masa depan, bersama dengan rakan kerjasama,” katanya.

Tahun lalu, PLI menetapkan 75 peratus daripada pelaburan untuk penyelidikan dan teknologi (R&T) digunakan bagi mengurangkan pelepasan karbon dioksida.

Syarikat berkenaan yang turut menyertai Pameran Motor Geneva, memperkenalkan beberapa inisiatif terbaharunya seperti PETRONAS Syntium dengan CoolTechTM dan ETRO+, iaitu kumpulan unik III+, ke arah mobiliti mapan pada masa depan.

Berita Harian X