X
Khamis, 7 March 2019 | 2:20pm
Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Bhd, Zafri Abdul Halim (dua dari kiri) dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA merangkap Pengarah PMB Invesment Bhd, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin (dua dari kanan) menyaksikan pertukaran dokuman antara Ketua Akademi Etiqa Barisan Pengurusan PMB Investment Berhad dan Etiqa Life Insurance Bhd, Muhammad Adli Alias (kiri) dengan Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment Bhd, Najmi Mohamed (kanan). NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din.
Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Bhd, Zafri Abdul Halim (dua dari kiri) dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA merangkap Pengarah PMB Invesment Bhd, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin (dua dari kanan) menyaksikan pertukaran dokuman antara Ketua Akademi Etiqa Barisan Pengurusan PMB Investment Berhad dan Etiqa Life Insurance Bhd, Muhammad Adli Alias (kiri) dengan Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment Bhd, Najmi Mohamed (kanan). NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din.

PMB Investment, Etiqa jalin kerjasama mantapkan perunding

KUALA LUMPUR: PMB Investment Bhd (PMB Investment) memeterai nota kerjasama strategik bagi program keusahawanan kewangan Syariah bersama Etiqa Family Takaful Bhd (Etiqa) bagi memantapkan perunding unit amanahnya (PUA).

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA, Tengku Ahmad Badlishah Raja Husin, berkata melalui kerjasama itu, Etiqa akan membantu PMB Investment memenuhi keperluan latihan PUA dalam usaha menjadikan anak syarikat milik penuh Pelaburan MARA Bhd itu sebagai pengurus dana patuh Syariah terulung.

“Kerjasama strategik ini akan memberi ruang kepada PMB Investment bagi mendapatkan kepakaran teknikal daripada Akademi Etiqa terutama bagi perkongsian pengetahuan mengenai jualan dan kepemimpinan.

“Kami mahu mainkan peranan penting dalam meningkatkan kemahiran PUA demi membentuk mereka sebagai usahawan kewangan Syariah dan menjadikannya sebagai kerjaya pilihan golongan muda,” katanya pada majlis menandatangai nota kerjasama strategik berkenaan di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Najmi Mohamed, mewakili Pelaburan MARA dan Etiqa diwakili Ketua Akademi Etiqa, Muhammad Adli Alias sambil disaksikan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Pelaburan MARA Bhd, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Setakat 28 Februari 2019, PMB Investment mempunyai 1,000 PUA dan dijangka meningkat sebanyak 50 peratus menjelang akhir tahun ini.

Mengulas lanjut, Najmi berkata, kerjasama ini akan mengembangkan dan mengukuhkan jejak kedua-dua syarikat dalam pasaran dana pelaburan dan sekali gus membolehkan lebih ramai melabur dengan PMB Investment dan seterusnya mengambil perlindungan takaful Etiqa.

Menerusi kerjasama ini, katanya kumpulan mengunjurkan jumlah pelaburan sebanyak RM700 juta menjelang akhir tahun 2019 berbanding RM400 pada tahun sebelumnya manakala jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) meningkat sebanyak RM2 bilion.

Sementara itu, mengulas mengenai prospek pasaran, Najmi berkata peningkatan aliran masuk dana asing ke pasaran tempatan dijangka terus memacu penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) untuk mencecah sehingga 1,800 mata tahun ini dengan pemulihan beberapa indeks di Bursa Malaysia.

Katanya, berlaku situasi tematik di Bursa Malaysia terutama di sektor minyak dan gas serta teknologi, berikutan pelancaran spektrum 5G.

“Bagi dua bulan pertama 2019, pasaran ekuiti tempatan didagangkan berdasarkan tajuk utama akhbar. Sepanjang tahun 2019, pasaran diramalkan kekal tidak menentu disebabkan oleh beberapa ketidaktentuan termasuk perang perdagangan antara China-Amerika Syarikat (AS), Brexit dan penutupan kerajaan AS serta kelembapan pertumbuhan ekonomi global.

“Namun pertumbuhan ekonomi negara dijangka merekodkan pertumbuhan positif berikutan beberapa tindakan yang diambil oleh kerajaan untuk menangani pertumbuhan perlahan global,” katanya.

Menyentuh mengenai prestasi ringgit, Najmi berkata, ringgit dijangka didagangkan antara RM4.00 dan RM4.30 sepanjang tahun ini dipengaruhi sentimen global.

Berita Harian X