Jumaat, 8 March 2019 | 1:09pm
WAN Zulkiflee pada sidang media mengumumkan keputusan kewangan PETRONAS bagi 2018 di Kuala Lumpur. - Foto Asyraf Hamzah

PETRONAS raih untung bersih lebih tinggi RM55.3 bilion

KUALA LUMPUR: PETRONAS mencatatkan prestasi kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 dengan keuntungan bersihnya meningkat 22 peratus kepada RM55.3 bilion, berbanding RM45.5 bilion tahun sebelumnya.

Pendapatan diraih kumpulan pula meningkat 12 peratus kepada RM251 bilion berbanding RM223.6 bilion pada 2017.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata prestasi kukuh itu disumbangkan oleh peningkatan kecekapan operasi serta kecemerlangan komersialnya.

"Kami berjaya mencatatkan kemajuan dalam strategi jangka panjang dan terus melabur untuk masa depan," katanya pada sidang media mengumumkan keputusan kewangan PETRONAS bagi 2018, di sini, hari ini.

Wan Zulkiflee berkata, prestasi kukuh yang dicapai oleh PETRONAS sepanjang tahun lalu turut membolehkan syarikat minyak dan gas negara itu mengagihkan dividen khas berjumlah RM30 bilion pada 2019.

"Pengagihan dividen berkenaan akan dilakukan secara berperingkat tahun ini," katanya.

Selain itu, katanya setakat 31 Disember 2018, PETRONAS mencatatkan baki tunai berjumlah RM181 bilion, meningkat 33 peratus berbanding RM136.5 bilion pada 31 Disember  2017.

Melangkah ke hadapan, Wan Zulkiflee berkata, kumpulan akan terus memberi tumpuan dalam kecemerlangan operasi dan strategi pertumbuhan.

Katanya, industri minyak dan gas akan terus beroperasi dalam persekitaran yang mencabar.

"Prestasi kewangan bagi 2019 akan terus terkesan oleh pergerakan harga minyak mentah dunia," katanya sambil menambah PETRONAS melaksanakan perancangan kewangannya berdasarkan harga minyak pada paras AS$66 setong.

Beliau menambah, perbelanjaan modal (capex) PETRONAS bagi 2019 dianggarkan kira-kira RM50 bilion.

Berita Harian X