Ahad, 10 March 2019 | 5:07pm
Rakan Pengurusan CSQ Law, Shamsul Qamar Abd Rani.

Konsortium Malaysia lihat potensi kewangan Islam di Kazakhstan

KUALA LUMPUR: Sebuah konsortium syarikat Malaysia sedang menjalankan kajian mengenai kewangan dan perbankan Islam di Kazakhstan kerana melihat potensi besar bagi pembangunan sektor berkenaan.

Konsortium itu, yang terdiri daripada firma guaman CSQ Law dan firma penasihat Syariah global bagi kewangan Islam Amanie Advisors Sdn Bhd, menyasar mengeluarkan laporan menyeluruh mengenai kesediaan pasaran Kazakhstan dan peluang yang tersedia bagi pemain Malaysia dalam kewangan Islam di sana.

Kajian enam bulan itu dijangka selesai bulan depan, kata Rakan Pengurusan CSQ Law, Shamsul Qamar Abd Rani.

“Kewangan Islam mempunyai potensi besar bagi pembangunan di rantau itu,” katanya kepada Bernama.

Ketika ini, katanya, sektor tersebut menyumbang kurang daripada satu peratus daripada jumlah aset perbankan negara berkenaan dan kerajaan Kazakhstan merancang meningkatkan bahagian pasarannya kepada antara tiga peratus dan lima peratus menjelang 2025.

“Dengan sokongan padu daripada institusi antarabangsa seperti Bank Pembangunan Islam (IsDB), Kazakhstan adalah satu-satunya negara di Asia Tengah yang membangunkan rangka kerja kawal selia dan undang-undang, produk, instrumen yang baik untuk menarik perkhidmatan kewangan perbankan Islam dan bukan perbankan,” katanya.

Shamsul Qamar berkata pengawal selia telah melakukan usaha yang amat besar dalam memacu kewangan Islam di Kazakhstan seperti melancarkan Astana International Financial Centre (AIFC), dengan kewangan Islam sebagai satu daripada tunggak strategiknya.

Di bawah AIFC, terdapat banyak insentif yang disediakan kepada pemain asing seperti pengecualian cukai sehingga 50 tahun.

Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat keperluan untuk meningkatkan bilangan tenaga kerja di Kazakhstan agar sektor berkenaan dapat menambah baik perundangan yang ada ketika ini bagi membolehkan kaunter perbankan beroperasi di negara itu.

Menurutnya, hanya perniagaan perbankan Islam menyeluruh dibenarkan beroperasi di bawah undang-undang semasa bagi perbankan Islam di Kazakhstan, yang menyebabkan banyak bank konvensional enggan memanfaat pasaran itu.

“Ia memerlukan pelaburan modal yang amat besar untuk menubuhkan keseluruhan operasi perbankan berserta mekanisme patuh Syariah. Sehingga kini, hanya terdapat dua bank Islam berdaftar di Kazakhstan, iaitu Al-Hilal Bank dan Zaman Bank,” katanya.

CSQ Law dan Amanie Advisors membentangkan keputusan awal kajian mereka di Astana pada 5 Mac.

Antara yang hadir semasa pembentangan itu ialah Duta Malaysia ke Kazakhstan Syed Mohamad Bakri Syed Abd Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif AIFC Nurlan Kussainov serta pegawai-pegawai bank, pengamal undang-undang, pihak berkuasa kawal selia, penyedia perkhidmatan dan ahli akademik.

“Kajian itu menyasarkan 1,000 responden dari Astana, Almaty dan Symkent.

“Secara umumnya, kami melihat minat yang semakin tinggi untuk mengetahui dan melanggan produk patuh Syariah dalam kalangan pengguna di Kazakhstan. Tahap kesedaran, terutamanya dari sudut pandangan agama telah meningkat sejak kemerdekaan,” katanya.

Berita Harian X