X
Rabu, 13 March 2019 | 2:26pm
Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis (dua kanan) bersama Ketua Pegawai Strategi TNB Research, Ir Dr Mohd Fadzil Mohd Siam (dua kiri) melawat pameran sempena Hari Terbuka TNB Research 2019. Foto NSTP/Zulfadhli Zulkifli.
Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis (dua kanan) bersama Ketua Pegawai Strategi TNB Research, Ir Dr Mohd Fadzil Mohd Siam (dua kiri) melawat pameran sempena Hari Terbuka TNB Research 2019. Foto NSTP/Zulfadhli Zulkifli.

GLC digalak contohi TNB lahirkan pakar penyelidik tenaga

KUALA LUMPUR: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta digalak mencontohi Tenaga Nasional Bhd (TNB) dalam usaha melahirkan lebih ramai pakar penyelidik industri tenaga yang layak diketengahkan di peringkat antarabangsa.

Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Inovasi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Isnaraissah Munirah Majilis, berkata usaha itu dilaksanakan TNB menerusi anak syarikat milik penuhnya, TNB Research Sdn Bhd (TNBR) yang sentiasa menyokong aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi.

“Pencapaian TNBR bukan saja memberi manfaat kepada industri tenaga, tetapi boleh dijadikan contoh terbaik kepada GLC lain, bahkan syarikat-syarikat swasta,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Isnaraissah, usaha TNB ini turut menyokong kepada usaha MESTECC ke arah keupayaan inovasi negara di samping meningkatkan kadar pengkomersialan aktiviti penyelidikan dan pembangunan.

Isnaraissah turut melancarkan empat buku terbitan TNBR yang menyokong kepada aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang melibatkan Hulu Terengganu Hydroelectric Project-Towards Conservation of Biodiversity, Dasar jaminan Kualiti Produk TNB, TenagaPRO–Technology Guidebook 2019 dan Program Pengurusan Bencana Empangan Berteraskan Komuniti Secara Bersepadu.

Isnaraissah melancarkan buku berkenaan pada majlis Hari Terbuka TNB Research 2019 yang bertemakan ‘Energizing Research, Enlivening Innovation’ semalam, di mana beliau turut menyampaikan ucapan dan merasmikan majlis itu.

Hari Terbuka TNB Research 2019 yang julung kali diadakan ini adalah platform terbaik untuk semua pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, sektor swasta, usahawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk berkongsi idea dan hasil inovasi.

-BERNAMA

Berita Harian X