Khamis, 14 March 2019 | 3:35pm

TNB akan keluar kenyataan rasmi berhubung perubahan kepimpinan

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan membuat kenyataan secara rasmi pada masa yang sesuai berkenaan perubahan kepimpinannya atau perkara yang boleh memberi kesan terhadap syarikat.

Firma utiliti itu merujuk kepada laporan yang diterbitkan BH dan New Straits Times (NST) semalam bahawa Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TNB, Datuk Seri Azman Mohd diminta untuk melepaskan jawatannya.

Laporan memetik sumber itu berkata, Azman sudah diberi notis supaya meletakkan jawatannya pada Jumaat lalu.

Perkembangan itu adalah sesuatu yang mengejutkan kerana kontrak Azman dilanjutkan selama dua tahun pada 1 Julai tahun lalu.

Lanjutan kontrak berkenaan adalah yang kedua selepas Azman dilantik sebagai Presiden dan CEO Kumpulan pada 1 Julai 2012 selepas berkhidmat selama 36 tahun dalam pelbagai jawatan dengan TNB.

Sumber berkata, Pengerusi UEM Edgenta Bhd, Amir Hamzah Azizan dipercayai bakal menggantikan Azman di TNB.

Pengumuman mengenai perubahan pengurusan tertinggi kumpulan utiliti itu dijangka diadakan pada minggu ini, kata sumber itu lagi.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Strategi dan Kawal Selia TNB, Datuk Fazlur Rahman Zainuddin dikatakan akan menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan seterusnya sebagai sebahagian daripada pusingan jawatan.

Berita Harian X