Khamis, 14 March 2019 | 5:52pm
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Saifuddin Nasution Ismail (tengah) menyaksikan penukaran surat perjanjian kerjasama Tealive oleh Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding, Bryan Loo (dua kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir (dua kanan) dan Timbalan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad (kiri). Foto NSTP/Zunnur Al Shafiq.

Sasar 300 cawangan Tealive di Kedai Mesra

KUALA LUMPUR: Petronas Dagangan Bhd (PDB) menjalin kerjasama dengan Loob Holding Sdn Bhd (Loob) bagi menawarkan francais Tealive di rangkaian Kedai Mesra seluruh Malaysia dengan sasaran sehingga 300 cawangan baharu dalam tempoh tiga tahun.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Datuk Seri Syed Zainal Abidin, berkata kerjasama terbabit sejajar dengan strategi syarikat untuk mengembangkan perniagaan bukan bahan apinya.

“Seperti Petronas, Tealive juga adalah jenama yang sangat memahami kehendak pelanggan. Saya yakin pelanggan teruja dengan penambahan produk baharu di rangkaian Kedai Mesra.

“Kami juga mahu menjadikan Kedai Mesra sebagai pusat sehenti orang ramai. Selain itu, kami terbuka untuk bekerjasama dengan syarikat lain yang mempunyai visi yang sama,” katanya kepada media pada majlis pelancaran kerjasama strategik antara PDB dan Loob di sini, hari ini.

Ia dilancarkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Hadir sama ialah Naib Canselor UiTM, Prof Ir Dr Mohd Azraai Kassim dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob, Bryan Loo.

Setakat ini, Tealive telah berada di empat stesen Petronas iaitu di Bukit Antarabangsa, Ara Damansara, Lebuhraya Kesas dan Lebuhraya Besraya.  

Sementara itu, Loo berkata, tahun ini syarikat akan membuka 100 rangkaian Tealive di Kedai Mesra di seluruh Malaysia.

“Dalam tempoh tiga tahun, kami menyasarkan membuka 600 cawangan Tealive termasuk dengan kerjasama Petronas dan pertumbuhan organik syarikat yang membabitkan cawangan di pusat beli-belah.

“Kami juga dalam perancangan untuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) menjelang 2020,” katanya.

Menurutnya, kerjasama itu juga mewujudkan peluang pekerjaan untuk 300 graduan di rangkaian Tealive di Kedai Mesra.  

“PDB dan Tealive turut menjalin kerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi membuka peluang kepada universiti tempatan selaras dengan pengembangan kedai kami pada masa hadapan selain memupuk minat usahawan di kalangan graduan muda,” katanya.

Berita Harian X