Isnin, 18 March 2019 | 2:16pm

Airbus peserta pameran terbesar LIMA 2019

KUALA LUMPUR: Airbus akan menjadi peserta pameran yang terbesar di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019 dengan menampilkan keseluruhan rangkaian pesawat komersial, pesawat pertahanan, pesawat angkasa lepas, helikopter serta pelbagai perkhidmatan dan produk berkaitan.

Pesawat Airbus yang dipamerkan turut merangkumi pesawat A320neo yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan tambang murah AirAsia, iaitu pelanggan terbesar bagi pesawat lorong tunggal oleh pengeluar Eropah ini.

Pesawat ketenteraan seperti pesawat A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), pesawat pengangkut taktikal generasi baharu dan pesawat saiz sederhana CN235 yang digunakan dalam pelbagai misi pengangkutan akan turut dipamerkan.

Keunggulan syarikat itu selaku peneraju pasaran helikopter di Malaysia akan diserlahkan lagi melalui pameran helikopter H225M milik TUDM, AS555SN Fennec milik angkatan tentera laut Malaysia dan sebuah pesawat AS365 Dauphin yang dikendalikan oleh agensi penguatkuasa maritim negara.

Airbus juga akan turut mempamerkan Helikopter H145 yang telah dikonfigurasi untuk membekalkan perkhidmatan rawatan kecemasan.

Ruang pameran Airbus akan mempamerkan model berskala pesawat berbadan lebar baharu A330neo, pesawat peronda maritim C295, sistem pesawat udara tanpa pemandu berkuasa solar Zephyr, serta helikopter H175 dan ACH160.

Pengunjung juga akan mendapat maklumat lanjut mengenai kaedah penyelesaian risikan dan pengawasan maritim yang ditawarkan oleh syarikat pada bahagian khusus di ruang pameran, serta menyaksikan pembentangan mengenai pemasangan sistem senjata HForce pada helikopter H145M.

Malaysia adalah pasaran strategik bagi Airbus dengan kejayaan merentasi pelbagai rangkaian produk pesawat komersial dan ketenteraan, pesawat angkasa lepas dan helikopter.

Pelanggannya di Malaysia telah membuat pesanan pembelian untuk lebih dari 700 pesawat komersial dan lebih dari 100 buah helikopter, manakala TUDM adalah pelanggan eksport pertamanya bagi pesawat pengangkut A400M.

Airbus juga turut membekalkan MEASAT-3b, yang juga sistem komunikasi satelit terbesar negara.

Pertunjukan udara LIMA akan berlangsung pada 26 hingga 30 Mac di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri di Langkawi, Kedah.

Berita Harian X