Selasa, 19 March 2019 | 1:01pm
Aplikasi wang Bigpay sedia khidmat kewangan.

Bigpay kukuh kehadiran AirAsia di ASEAN

KUALA LUMPUR: Airasia Bhd komited untuk memperkukuh kehadirannya di ASEAN menerusi aplikasi wang, Bigpay.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tony Fernandes, berkata dengan memperkenalkan aplikasi berkenaan, AirAsia berharap ia akan memberi ketelusan dalam perbelanjaan serta perkhidmatan kewangan.

“Terdapat banyak persamaan antara AirAsia dan dunia teknologi kewangan. Dengan cara ini, perjalanan akan menjadi lebih mudah dan menjimatkan kos,” katanya ketika berucap pada Money 20/20 di Singapura yang dikongsikan dalam akaun Twitter beliau.

Tony berkata kebanyakan pelanggan sedia ada yang menggunakan penerbangan AirAsia terbabit dengan pertukaran mata wang, namun kadang kala menghadapi masalah semasa transaksi.

“Dengan menggunakan BigPay, caj pengiriman wang dapat dikurangkan sekali gus menjadikan perjalanan mereka lebih mudah.

Ketika ini BigPay yang mempunyai 300,000 pengguna merupakan pemberi khidmat e-kewangan berlesen penuh dan bekerjasama dengan Mastercard. Pengguna akan menikmati kadar pertukaran asing tanpa kos tambahan menerusi BigPay.

Selain itu mereka juga akan menerima manfaat eksklusif AirAsia apabila menggunakan kad BigPay seperti sifar fi bayaran pemprosesan dan menikmati diskaun pra-tempahan daftar masuk bagasi dan makanan dalam penerbangan.

-BERNAMA

Berita Harian X