Rabu, 20 March 2019 | 8:37pm

Anak syarikat Sunway Construction dapat projek RM86.43 juta

KUALA LUMPUR: Anak syarikat Sunway Construction Group Bhd (SunCon Group), Sunway Geotechnics (M) Sdn Bhd dan Sunway Construction Sdn Bhd hari ini meraih projek berjumlah RM86.43 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata Sunway Geotechnics memperoleh projek daripada S. N. Akmida Holdings Sdn Bhd untuk kerja-kerja cerucuk gerek bagi jejambat dan stesen untuk membina dan menyiapkan laluan, stesen, parkir dan gerak, bangunan tambahan dan kerja-kerja lain yang berkaitan bagi pakej GS10 Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dari Bandar Utama ke Johan Setia.

“Projek itu akan bermula pada 25 Mac 2019 dan dijangka siap pada 24 Mac 2020,” katanya.

Sementara itu, Sunway Construction memperoleh projek daripada Putrajaya Development Sdn Bhd untuk membina dan menyiapkan kerja-kerja tanah, cerucuk dan kerja-kerja yang berkaitan bagi cadangan pembangunan berorientasikan transit di Plot 7MD7, Presint 7, Putrajaya.

Projek ini akan bermula pada 25 Mac 2019 dan dijangka siap pada 24 Julai 2020, katanya.

Projek cerucuk LRT3 dan projek cerucuk Putrajaya dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan SunCon Group untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 dan seterusnya.

Jumlah projek baharu yang diberikan pada tahun ini, termasuk dua projek itu, berjumlah RM867.7 juta, daripada sasaran SunCon sebanyak RM1.5 bilion.

-BERNAMA

Berita Harian X