Ahad, 24 March 2019 | 7:57pm
TAN SRI Ong Tee Keat menyaksikan memorandum kerjasaman di antara wakil The Royaal Bumbon, Santhana (dua kanan), mewakili Resort Savers Inc, Datuk Seri Chang Ding Shin (tiga kiri) ,mewakili Cancer ROP , Dr Choi Jeong Min (kanan) dan mewakili Weber PDT , Datuk Dr Azman Ching (dua kiri) pada Majlis Menandatangan Kerjasama Pelancongan dan Resort Kesihatan Terbesar di Langkawi. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Langkawi bakal miliki resort penjagaan kesihatan dan kesejahteraan mewah

KUALA LUMPUR: Resort penjagaan kesihatan dan kesejahteraan swasta terbesar di Kedah, dijangka akan dibangunkan di Pulau Bumbon, Langkawi dengan pelaburan keseluruhan sebanyak RM1.2 bilion.

  

Pembangunan itu bertujuan menjadikan Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan perubatan terbaik di rantau ini, satu langkah yang bertujuan untuk meningkatkan ekonomi negara.

  

Royaal Bumbon Resort Holding (M) Sdn Bhd telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Resort Savers Inc untuk pembangunan pusat penjagaan kesihatan mewah itu.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Royaal Bumbon Resort, Datuk Seri Santhana Kumaar, berkata resort itu akan dibina di atas tanah seluas 36.8 hektar di pulau itu dengan pelaburan RM1.2 bilion.

  

"Kami mewujudkan produk pelancongan baharu yang akan meningkatkan jumlah pelancong mewah antarabangsa ke Langkawi.

"Projek itu juga akan mewujudkan dinamik ekonomi baharu termasuk mewujudkan lebih 300 peluang pekerjaan," katanya pada majlis menandatangani perjanjian itu di sini, hari ini.

"Kami mempunyai visi mempromosikan negara menjadi salah satu destinasi percutian dan pelancongan teratas di rantau ini," katanya.

  

Santhana berkata, kerjasama itu juga bertujuan membawa CancerROP, sebuah syarikat diagnostik molekul dari Korea yang membangunkan bahan uji dan kit diagnostik serta menyediakan perkhidmatan ujian genetik, untuk melabur di resort itu.

  

"CancerROP telah menyatakan minatnya untuk melabur di resort ini, mereka ingin menghasilkan teknologi perubatan terbaharu mereka untuk rawatan kanser dan sel stem di Malaysia," katanya.

  

Santhana berkata, majlis pecah tanah projek itu akan diadakan pada 14 Julai di Pulau Bumbon.

Berita Harian X