Khamis, 28 March 2019 | 7:59am

MAHB komited lonjak Malaysia sebagai hab MRO Asia Pasifik

LANGKAWI: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) komited untuk melonjakkan kedudukan negara sebagai hab penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pilihan menerusi pembangunan di Lapangan Terbang Subang dan KLIA Aeropolis.

Sehubungan itu, MAHB berkata ia akan turut bekerjasama dengan pelbagai rakan pakar aeroangkasa bagi mencapai matlamat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Raja Azmi Raja Nazuddin, berkata Subang Aerotech Park di Selangor seluas 24.28 hektar itu dijangka mampu menarik pelaburan tempatan dan asing bernilai lebih RM1 bilion selain menyokong lebih 5,000 pekerjaan dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Kita turut menerima reaksi positif dalam usaha menarik pemain peringkat global seperti Spirit Aerosystems yang terbabit dalam pemasangan komponen aerostruktur akhir untuk Boeing dan Airbus serta Senior Aerospace UPECA yang beroperasi pada pertengahan tahun ini dengan menghasilkan komponen siap untuk (pesawat) Airbus, Boeing dan Spirit Aero," katanya.

Beliau berkata, demikian kepada pemberita pada majlis memeterai perjanjian kerjasama di acara Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA‘19) di sini, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Berhad, Raja Azmi Raja Nazuddin (kiri) bertukar dokumen perjanjian bersama Timbalan Pengerusi dan Pengarah Eksekutif, Bousted Projek Limited, Wong Yu Wei sambil disaksikan Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari. - Foto Shahrizal Md Noor

MAHB memeterai perjanjian dengan dua pemain aeroangkasa, iaitu Boustead Projects Ltd dan TP Aerospace Malaysia membabitkan Inisiatif Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang bagi merancakkan ekosistem lapangan terbang itu.

Raja Azmi berkata, pihak Dassault Aviation dari Perancis turut mengumumkan visi mereka bagi menjadikan Lapangan Terbang Subang sebagai hab MRO syarikat itu di rantau Asia.

Atas alasan itu, katanya, perjanjian kerjasama yang dimeterai semalam akan meletakkan MAHB di landasan kukuh bagi meraih matlamat itu dengan menumpukan pencapaiannya di Lapangan Terbang Subang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Boustead Projects akan membantu kita menyediakan kemudahan binaan-untuk-kesesuaian (BtS) kepada peserta aeroangkasa di Subang Aerotech Park dan TP Aerospace pula membantu mengurangkan jurang dalam rantaian nilai MRO Lapangan Terbang Subang, terutamanya MRO tayar, roda dan brek pesawat," katanya.

MAHB membelanjakan kira-kira RM40 juta bagi membangunkan infrastruktur seperti kemudahan elektrik, jalan raya, platform, loji rawatan air dan sisa kumbahan, tangki air, perparitan dan kerja-kerja tanah di sana.

Sementara itu, perjanjian perkongsian MAHB dengan penyedia penyelesaian hartanah industri berpangkalan di Singapura, Boustead Projects, akan menumpukan pembangunan dan pengurusan kawasan aeroangkasa dan berteknologi tinggi di Subang Aerotech Park selain menyediakan penyelesaian BtS untuk kemudahan perindustrian khusus serta bermutu tinggi yang akan disewakan kepada penyewa dalam industri aeroangkasa.

Aktiviti di bawah perkongsian itu akan dijalankan menerusi syarikat usaha sama, dengan MAHB dan Boustead Projects masing-masing memegang 30 peratus dan 70 peratus kepentingan dalam firma itu.

Menurut Wong, Malaysia, terutamanya Selangor, dijangka terus berperanan penting bagi pasaran MRO Asia-Pasifik yang semakin meningkat bagi pesawat.

Perkongsian Boustead Projects dengan MAHB akan membolehkan pihaknya memperluas kedudukan luar negara dalam sektor bernilai tinggi, disokong keupayaannya yang bersepadu dan semakin meningkat menjangkaui reka-dan-bina serta pembangunan.

Rekod prestasinya di Seletar Aerospace Park, Singapura termasuk projek untuk Airbus, Bell Helicopter, Bombardier, Hawker Pacific, Rolls-Royce dan Safran.

Pengarah Urusan Boustead Projects, Thomas Chu berkata syarikat itu sedang berunding dengan peserta berpotensi untuk membina dan memajak ruang, selain menjangkakan dapat memuktamadkan perbincangan berkenaan dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang.

Sementara itu, perkongsian MAHB yang dimeterai dengan TPAM akan membabitkan anggaran pelaburan RM2 juta untuk mengendalikan kemudahan MRO bagi tayar, roda dan brek pesawat.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia memberi kelulusan bagi kemudahan itu Januari lalu.

Kemudahan MRO itu akan menjadi antara lapan kemudahan di bawah TP Aerospace Group yang beribu pejabat di Copenhagen, Denmark.

TPAM mensasarkan untuk menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan dalam kumpulan syarikat penerbangan seluruh dunia di 18 lokasi strategik menjelang 2020, menyokong lebih 1,000 kontrak pesawat serta menggaji lebih 500 pekerja di seluruh dunia. - BERNAMA

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X