Khamis, 28 March 2019 | 12:47pm

BDB lancar fasa baharu projek perumahan di Pokok Sena

ALOR SETAR: Bina Darulaman Bhd (BDB) melalui anak syarikat, Kedah Holdings Sdn Bhd (Kedah Holdings), melancarkan fasa baharu di projek perumahan Bandar Sejahtera dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM 32 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Faris Najhan Hashim, berkata fasa baharu itu membabitkan pembinaan yang akan dibangunkan di Seksyen 8, Bandar Pokok Sena dan dijangka mampu memenuhi permintaan terhadap perumahan, khususnya bagi penduduk di kawasan itu dan juga kawasan sekitar Bandaraya Alor Setar.

Katanya, pelancaran kali ini membabitkan 70 unit rumah teres dua tingkat dan 16 unit rumah kluster dua tingkat dengan harga jualan bermula daripada RM300,000 hingga RM460,000 dan adalah kesinambungan daripada pra-pelancaran projek pembangunan yang berlangsung pada Disember 2018 yang mana ia melebihi peratus jualan yang disasarkan.

“Apa yang menarik dengan pelancaran fasa baharu ini, Kumpulan BDB menawarkan pelbagai insentif kepada orang ramai dengan pembelian mana-mana unit rumah itu yang mana ia bermatlamat untuk membantu memudahkan proses pemilikan rumah terutama dalam kalangan pembeli rumah pertama dan rumah mampu milik.

“Selain rumah kediaman, Kumpulan BDB juga memberi peluang kepada peniaga yang berminat untuk mendaftar bagi rumah kedai dua tingkat yang turut dibuka pendaftarannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Faris berkata, Kumpulan BDB juga dalam perancangan untuk melancarkan baki 61 unit rumah teres dan kluster dua tingkat sekali gus menyempurnakan projek pembangunan Zon 1 Bandar Sejahtera pada tahun ini.

Jelasnya, ia menunjukkan komitmen Kumpulan BDB untuk menawarkan rumah moden pada harga mampu dimiliki oleh bukan saja kepada penduduk di kawasan berkenaan tetapi kepada seluruh rakyat Kedah.

“Kami melihat Bandar Sejahtera, Pokok Sena sebagai kawasan baharu yang berpotensi tinggi untuk dibangunkan kawasan perumahan, sekali gus dapat menaikkan taraf hidup masyarakat di sini.

“Sehubungan itu, saya mengharapkan projek perumahan ini akan menjadi pencetus kepada projek pembangunan pada masa depan bukan saja di kawasan itu malah di Daerah Pokok Sena secara khususnya,” katanya.

Kedah Holdings terbabit dalam pembangunan perumahan yang dijalankan dalam skala kecil yang mana antara projek perumahan yang dilaksanakan ialah Kulim Heights Apartment, Taman Nusantara, Taman Lelasari yang terletak di kawasan pinggir bandar iaitu di Kulim, Kuala Kedah dan Langgar.

Kedah Holdings adalah anak syarikat milik penuh BDB ditubuhkan pada 1982 terbabit dalam pembangunan komersial dan perumahan bertanah serta bangunan tinggi di Kedah.

Kedah Holdings bermula dengan pembangunan rumah kedai di Kompleks Alor Setar, blok tinggi bangunan pejabat yang dimiliki BDB, pembangunan perumahan di sekitar Bandaraya Alor Setar dan kemudiannya terbabit dalam usaha sama dengan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah dalam membangunkan sebuah kondominium di Kulim Golf & Country Resort.

Berita Harian X