Khamis, 28 March 2019 | 10:17pm
Datuk Yasmin Mahmood dilantik sebagai Pengerusi Pos Malaysia Bhd berkuat kuasa 1 April ini. - Arkib NSTP

Pos Malaysia lantik Yasmin sebagai Pengerusi

KUALA LUMPUR: Datuk Yasmin Mahmood, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dilantik sebagai Pengerusi Pos Malaysia Bhd berkuat kuasa 1 April ini.

Yasmin menggantikan Datuk Mohammad Zainal Shaari, yang meletakkan jawatan bagi memberi tumpuan kepada rasionalisasi yang sedang dilaksanakan dalam DRB-HICOM Group.

Mohammad Zainal menjadi Pengerusi DRB-HICOM, syarikat induk Pos Malaysia pada 13 April tahun lalu.

Dalam satu kenyataan, Pos Malaysia berkata, Yasmin yang meninggalkan MDEC pada pertengahan Januari 2019, adalah pemimpin berfikiran global yang sangat dicari-cari dalam transformasi, perundingan dan pelaksanaan ekonomi digital dan di bawah pimpinannya, MDEC melonjak ke tahap yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan menjadikan ekonomi digital pemacu pertumbuhan Malaysia.

Tahun lalu, Yasmin diiktiraf sebagai salah seorang daripada 100 orang paling berpengaruh di dunia dalam kerajaan digital oleh Apolitical, rangkaian global bagi kerajaan yang memberi fokus membantu penjawat awam menyelesaikan isu yang berpangkalan di United Kingdom.

Ketika ini, Yasmin adalah Pengarah Urusan FutureReady Consulting Sdn Bhd.

Sementara itu, Pos Malaysia juga mengumumkan peletakan jawatan Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa sebagai pengarah bukan eksekutif bebas berkuat kuasa mulai 1 April.

Penyedia perkhidmatan pos itu berkata, Zamzamzairani meletakkan jawatan kerana komitmennya yang tinggi sebagai anggota lembaga syarikat lain. - BERNAMA

Berita Harian X