Jumaat, 29 March 2019 | 7:52pm
MENTERI Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof (tengah) menyaksikan majlis menandatangani MoU di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri sempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19). - Foto Kementerian Pembangunan Usahawan
MENTERI Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof (tengah) menyaksikan majlis menandatangani MoU di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri sempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19). - Foto Kementerian Pembangunan Usahawan

Strand bekerjasama dengan Samad Aerospace bangunkan eVTOL

LANGKAWI: Syarikat kejuruteraan aeroangkasa, Strand Aerospace Malaysia Sdn Bhd, memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat aeroangkasa United Kingdom, Samad Aerospace Ltd, bagi membangunkan bersama-sama pesawat berlepas dan mendarat elektronik menegak (eVTOL).

Pengurus pembangunan perniagaan Strand Aerospace, Afif Badrulhisham, berkata MoU itu berupaya memberi peluang kepada syarikat untuk terbabit dalam eVTOL yang mana sedang meningkat naik dalam industri aeroangkasa ketika ini.

"Pesawat ini pada masa ini masih dalam fasa pembangunan yang mana ia perlu melalui proses reka bentuk, kejuruteraan dan pengesahan dan di sinilah Strand Aerospace mempunyai kepakaran berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis menandatangani MoU itu di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri sempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Strand Aerospace diwakili oleh Afif, manakala Samad Aerospace oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Seyed Moseni.

Ia disaksikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Mengulas lanjut Afif berkata, kerjasama dengan Samad Aerospace itu akan dapat membantu membangunkan industri aeroangkasa di Malaysia.

Ketika ini, katanya hanya Strand Aerospace sahaja syarikat aeroangkasa di Malaysia yang mempunyai keupayaan dan kepakaran untuk bekerja dengan Samad Aerospace.

"Kami harap pada masa depan, kami akan mampu membangunkan lebih banyak syarikat tempatan yang mampu menyediakan perkhidmatan kepada Samad Aerospace," katanya.

Sementara itu Seyed berkata, pesawat yang dikenali sebagai e-Starling, dianggarkan bernilai 200 juta pound untuk dibangunkan dan dijangka dapat diserahkan bermula tahun 2022.

"Selain e-Starling, kami juga mahu bekerjasama membangunkan teksi udara bersama dengan Strand Aerospace," katanya.

Berita Harian X