Jumaat, 29 March 2019 | 9:53pm

Tasco, TYGC meterai perjanjian langganan saham RM125 juta

KUALA LUMPUR: Tasco Bhd (Tasco) dan anak syarikat milik penuhnya, Tasco Yusen Gold Coin Sdn Bhd (TYGC) menandatangani perjanjian langganan saham (SSA) dengan Japan Overseas Infrastructure Investment Corporation for Transport and Urban Development (JOIN) bagi cadangan terbitan dan peruntukan 58.87 juta saham biasa baharu bernilai RM125 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Tasco berkata, susulan daripada SSA itu, kepentingan ekuiti dalam TYGC akan dikurangkan kepada 70 peratus daripada 100 peratus.

“Bagi menampung cadangan pelaburan daripada JOIN, TYGC akan memanfaatkan RM69.26 juta daripada bayaran pendahuluan pemegang saham daripada Tasco menerusi terbitan dan peruntukan 135.38 juta saham baharu TYGC kepada Tasco, serentak dengan cadangan pelaburan JOIN.

Dengan selesainya SSA itu, modal saham yang diperbesarkan TYGC berjumlah RM196.26 juta yang terdiri daripada 196.26 juta saham TYGC.

“Sebaik selesainya SSA, Tasco akan menandatangani perjanjian pemegang saham dengan JOIN untuk merangka amalan perniagaan TYGC, meliputi pelbagai bidang termasuk komposisi lembaga, polisi dividen dan perkara-perkara yang memerlukan kelulusan pemegang saham,” kata Tasco.

JOIN adalah dana tajaan swasta-kerajaan Jepun bagi pelaburan infrastruktur di luar negara untuk menyokong dan memudahkan penyertaan syarikat Jepun di pasaran infrastruktur global. -- BERNAMA

Berita Harian X