Selasa, 2 April 2019 | 8:53am

Aramco syarikat paling untung di dunia

DUBAI: Saudi Aramco, pengeluar minyak terbesar di dunia, meraih pendapatan teras berjumlah AS$224 bilion (RM914.82 bilion) tahun lalu, hampir tiga kali ganda lebih besar berbanding Apple.

Demikian menurut perangkaan syarikat milik kerajaan Arab Saudi itu yang dikeluarkan menjelang penerbitan sulung bon antarabangsanya.

Sebelum ini enggan mendedahkan kedudukan kewangannya, Aramco terpaksa mendedahkannya bagi mendapatkan penarafan awam dan mula mengeluarkan bon antarabangsa.

Walaupun mencatat keuntungan besar, gergasi minyak milik negara itu dinilai oleh agensi kredit setanding negara Arab Saudi, yang bermaksud ekonomi lembap kerajaan itu akan memberi kesan terhadap kos pinjaman Aramco ketika mana ia mempersiapkan penerbitan sulung bonnya.

Menteri Tenaga Saudi, Khalid al-Falih, berkata pada awal tahun ini penjualan bon yang dirancang itu akan menjana sekitar AS$10 bilion, tetapi sumber-sumber perbankan berkata transaksi itu mungkin lebih besar.

Agensi penarafan Fitch dan Moody masing-masing memberi penarafan A+ dan A1 ke atas Aramco.

Bagaimanapun, kedua-duanya mengatakan bahawa tanpa kekangan penarafan kedaulatan, Aramco akan berada dalam liga yang sama seperti syarikat minyak antarabangsa yang dinilai lebih baik seperti Exxon Mobil, Chevron dan Shell.

“Penarafan Saudi Aramco dikekang oleh Arab Saudi (A +/Stabil)," kata Fitch.

"Ini mencerminkan pengaruh yang dikenakan kerajaan terhadap syarikat itu melalui cukai dan dividen, serta mengawal selia tahap pengeluaran selaras dengan komitmen OPEC."

Fitch meletakkan profil kredit tersendiri Aramco pada "AA +".

"Saudi Aramco memiliki ciri-ciri korporat bertaraf Aaa, dengan hutang minimum berbanding aliran tunai, pengeluaran besar-besaran, kepimpinan pasaran dan akses di Arab Saudi menjadi antara yang memiliki rizab hidrokarbon terbesar di dunia," kata Rehan Akbar, Pegawai Kredit Kanan di Moody's.

Kumpulan itu mempunyai 257 bilion tong minyak, mewakili lebih daripada 50 tahun rizab berdasarkan tahap pengeluaran semasa, demikian menurut data syarikat dalam taklimat kepada pelabur dan dilihat oleh Reuters.

Aramco akan memulakan pertemuan pelabur bon antarabangsa minggu ini, dan dijangka menarik permintaan yang tinggi dari pelabur global.

Jualan bon itu dirancang selepas pengumuman pengambilalihan 70 peratus kepentingan dalam Saudi Basic Industries Corp (SABIC), pengeluar petrokimia keempat terbesar dunia, dari Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi, dalam urus janji bernilai AS$69.1 bilion. - Reuters

Berita Harian X